Nasional

Laksa Telur Goreng Bersarang laris di HPPNM

Sentuhan air tangan dari Perak menjadi rahsia Laksa Telur Goreng Bersarang Botani Ipoh paling laris dijual dan mendapat perhatian pengunjung pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Melaka 2022 (HPPNM) berakhir semalam.

Sepanjang tempoh tiga hari HPPNM berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, Laksa Telur Goreng Bersarang Botani Ipoh adalah antara yang mencuri perhatian.

Penjualnya, Azril Bidin, 40, berkata, sepanjang tiga hari menyertai HPPNM dia berjaya menjual sebanyak 135 kilogram (kg) laksa dan menggunakan 120 kg ikan kembung untuk memghasilkan kuah.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka laksa dijualnya mendapat sambutan daripada pengunjung dan setiap hari dua periuk besar kuah laksa yang dimasaknya habis dijual.

“Laksa yang saya jual ini laris kerana keunikan namanya dan ramai pengunjung di MITC pelik laksa ini menggunakan telur dadar dan bukan telur rebus. Selain daripada itu harga yang saya jual sangat murah iaitu RM6 semangkuk.


“Bagi saya paling penting ialah rasa kuah laksa itu sendiri. Rasa yang enak menyebabkan ada pelanggan datang berulang di khemah yang saya sewa di MITC,” ujarnya yang dibantu isterinya, Nurazwani Mohd. Ridzuan, 36, di sini semalam.

Azril berkata, dalam kalangan pelanggan yang datang beranggapan laksa yang dijualnya ada kena-mengena dengan sarang burung.

Namun die menjelaskan, ia hanyalah laksa biasa yang kebiasaannya menggunakan telur rebus tetapi
laksa ini lain kerana menggunakan telur dadar tetapi keistimewaannya terletak pada kuahnya.

Justeru ujarnya, keputusan dia dan isterinya datang ke Melaka dari Ipoh, Perak semata-mata ingin menyertai HPPNM selain mempromosikan laksanya tidak sia-sia.

Atas sambutan itu katanya, dia menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) daripada 4 sehingga 14 Ogos ini.

Bagi jualan di MAHA, dia sudah menyediakan pelbagai menu iaitu laksa fishcake, pucuk, telur sebiji dan meatball. Kesemuanya dijual pada harga RM6 hingga RM10 semangkuk.- SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button