Nasional

Warisi semangat kebersamaan tokoh terdahulu pulihkan negara – PM

MENJELANG sambutan Hari Kebangsaan ke-64 negara rakyat diminta mewarisi semangat kebersamaan yang telah ditunjukkan oleh tokoh-tokoh terdahulu yang telah membina Malaysia bagi memulihkan negara daripada kesan pandemik Covid-19.

Berpandukan data dan fakta, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu rakyat yakin bahawa hanya melalui kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik Covid-19 akan berakhir dengan kemenangan.

Justeru beliau meminta semua rakyat berjanji untuk bersama-sama memulihkan semula Malaysia yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum.

“Pada tarikh keramat ini, marilah kita berjanji untuk bersama-sama memulihkan negara yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum.

“Kita mahu mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.

“Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia.

“Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara,” kata Ismail Sabri dalam Perutusan Hari Kebangsaan Negara ke-64 bertemakan Malaysia Prihatin sebentar tadi.

Menurut Perdana Menteri kesembilan itu, cabaran yang sedang Malaysia hadapi hari ini belum pernah ditempuhi oleh mana-mana pemimpin dan kerajaan sebelum ini.

Malaysia ketika ini berdepan dengan cabaran serentak wabak penyakit dan kegawatan ekonomi. Cabaran-cabaran tersebut turut menggugat kestabilan politik negara dan di seluruh dunia.

Justeru, sempena hari kemerdekaan ke-64 keseluruhan warga Malaysia perlu terus berjuang memerangi pandemik COVID-19 sebagai musuh yang paling utama secara bersama.

“Saya amat berharap, hasil kerjasama daripada kita semua, tahun ini menjadi tahun terakhir kita merayakan Sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19.

“Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, kejayaan memerangi Covid-19 akan membolehkan Malaysia membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

Tegas Ismail Sabri, ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

Dalam perutusannya itu, Ismail Sabri turut menyeru kepada Keluarga Malaysia agar segera mendapatkan vaksin  Covid-19 sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara.

Tambahnya, vaksin telah terbukti memberi impak positif dalam usaha memerangi wabak Covid-19.-SM

 

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button