Nasionalpilihan

ICU sasar 1,595 KIR keluar status miskin tegar

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mensasarkan kira- kira 1,595 ketua isi rumah (KIR) di negeri ini dapat dikeluarkan daripada status miskin tegar menjelang Disember ini.

Pengarah Pejabat Pembangunan Melaka, Megat Azlani Megat Ramli berkata, sasaran itu mampu dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan daripada Kerajaan Pusat yang disalurkan melalui pelbagai agensi terhadap kumpulan sasar itu.

Menurutnya, menjadi keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan golongan miskin tegar di seluruh negara termasuk di negeri ini menjadi sifar menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, bagi golongan miskin tegar di negeri ini jumlah tersebut diperoleh melalui data e-kasih.

“Sehingga kini seramai 1,595 KIR dikenal pasti sebagai miskin tegar dan kita akan santuni agar mereka dapat keluar daripada status ini menjelang Disember ini.

“Setakat ini kita telah berjaya mengeluarkan seramai 45 peserta daripada status miskin tegar di negeri ini melalui Program Usaha Kasih (U Kasih).

“Kita akan berikan bantuan bukan sahaja baiki rumah tetapi bantuan lain dari segi perniagaan akan kita salurkan,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan baik pulih rumah seorang peniaga Suhaila Jaafar menerusi Program Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Melayu Machap Jaya di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan YaPEIM, Parihah Hassan dan Pengurus YaPEIM Melaka dan Negeri Sembilan, Azharry Giman.

Menurut Megat Azlani, seramai 45 peserta yang telah keluar dari status miskin tegar dibantu menerusi menyertai Program U Kasih tahun ini.

Katanya, mereka yang kebanyakan daripada golongan peniaga mendapat bantuan sebanyak RM5,000 bagi pembelian perkakasan dan bantuan latihan.

“Ada peniaga asam pedas yang kita bantu yang dulu mereka berniaga di tepi jalan tetapi kini sudah mampu menyewa kedai dan mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000,” ujarnya. – SM

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button