Nasional

KPDNHEP kenakan kompaun RM64,050, sita barang RM52,897.31

SHMMP HRP 2021 berjaya, akan guna pada Hari Kaamatan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM64,050 serta menyita barangan bernilai RM52,897.31 sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP HRP 2021) yang bermula 21 April hingga 20 Mei lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, sebanyak 73 aduan diterima sepanjang tempoh itu yang kesemuanya telah disiasat dan akan diambil tindakan.

Sebanyak 51,138 pemeriksaan ke atas premis di seluruh negara dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut, katanya.

“Sebanyak 454 tindakan undang-undang telah dikenakan iaitu 91 kes kerana menjual melebihi harga maksimum, 186 kes kerana gagal menggunakan tanda harga khas dan 177 kes tiada tanda harga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, didapati kadar pematuhan dalam kalangan peniaga adalah tinggi iaitu pada 99 peratus yang mana barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang telah ditentukan kerajaan.

Malah, katanya, sesetengah barangan harga terkawal didapati dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan, ujar beliau.

Senario positif ini berlaku kerana persaingan yang sihat selain faktor penawaran dan permintaan yang seimbang di pasaran, kata Azman lagi.

Azman berkata, kejayaan SHMMP HRP 2021 mendorong KPDNHEP untuk meneruskan pelaksanaan SHMMP bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 yang akan disambut tidak lama lagi.

Pengumuman mengenai senarai barangan yang terlibat dan harga maksimum akan dibuat oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi Isnin depan. – SM

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button