Nasional

Raja Muda diiringi KJ berpeluang lawat Projek Diraja, Kuala Perlis

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin teruja berpeluang melawat Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis yang diinisiatifkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis semalam.

Beliau mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berbasikal melawat kampung berkenaan sebagai sebahagian daripada aktiviti sampingan sempena ‘Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis 2022’ anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Khairy Jamaluddin singgah di Jambatan Tuanku Syed Putra ketika berbasikal melawat Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis.

Program bermula di Klinik Desa Kampung Seberang Ramai dengan upacara simbolik
mengecat Mural Klinik tersebut sebelum para peserta diberikan penerangan di pekarangan Dataran Semarak.

Antara lokasi menarik yang disinggahi adalah Rumah Mural Air Terjun Kampung Tandiap,
Jambatan Tuanku Syed Putra, Laman Laksa, Surau lama dan Anjung Persinggahan Diraja, Laman Bunga Raya, perasmian Rumah sihat – Ubat dan Rumah Sihat – Gigi serta Gelanggang Futsal Pulau Ketam sebelum berlepas ke Laman Woodball Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Dataran Datuk Sheikh Ahmad Kangar untuk program perasmian selanjutnya.

Dalam ucapan beliau di akhir kayuhan di Warung Putu Mayam Kak Ila yang merupakan salah sebuah projek perniagaan dibantu MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), Khairy berkata, usaha dan peranan yang telah dimainkan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dalam menjayakan Projek Diraja berkenaan adalah bertepatan dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjadikan elemen penentu kesihatan seperti sosial, ekonomi dan persekitaran termasuk kebersihan serta keceriaan diberikan perhatian dalam menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Tuanku Raja Muda selepas program tersebut mengingatkan semua bahawa pesakit diabetes, darah tinggi, dan kolesterol tinggi memerlukan rawatan seumur hidup selain pesakit-pesakitnya berhadapan dengan komplikasi seperti ‘stroke’ atau angin ahmar, kegagalan fungsi buah pinggang, saluran jantung tersumbat, dan juga kebutaan’,.

“Sememangnya menjadi tanggungjawab Jabatan Kesihatan untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit tersebut, tetapi amalan cara hidup individu yang berkaitan dengan penyakit-penyakit kronik tersebut dipengaruhi oleh pelbagai faktor persekitaran yang pasti tidak mampu ditangani oleh pihak Jabatan Kesihatan secara sendirian,” titah Baginda.

Titah Baginda, penyakit ini boleh dicegah sekiranya setiap individu mengamalkan cara hidup yang sihat, iaitu kekal aktif, makan secara sihat, tidak merokok, serta tangani stres dengan bijak sejak awal lagi dan terus mengekalkannya.

Sempena program yang disekalikan dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke 46 bagi tahun 2022, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyantuni tiga buah rumah asnaf untuk menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Rokiah Awang, Hambiah Mat Elias dan Jerah Arop.

Terdahulu daripada itu baginda turut berkenan menyerahkan RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Munawwarah, Sungai Bugis untuk diagihkan setiap seorang RM700 oleh amilnya Ustaz Nasrudeen Khamis. – SM

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button