Nasional

KP Sinar Harian meninggal dunia

KETUA Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan awal pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 53 tahun itu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak minggu lalu.

Beliau dilapor mengalami masalah kerosakan buah pinggang sebelum keadaan menjadi semakin kritikal ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Malah pada malam tadi, beliau juga dilaporkan mengalami kegagalan fungsi beberapa organ badan dan keadaan jantung yang semakin lemah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Bagaimanapun, pengurusan jenazah Allahyarham akan dimaklumkan kemudian.

Allahyarham merupakan seorang pengamal media yang pernah bertugas sebagai Wartawan dan Pengarang di Utusan Malaysia terbitan Utusan Melayu (M) Berhad.

Sebagai makluman, Baharom pernah bertugas di pelbagai meja dan biro serta pernah menjadi koresponden Utusan Malaysia di London pada 1994 hingga 1997.

Beliau juga pernah menjadi Pengarang dan Ketua Pengarang akhbar Kosmo! selama 10 tahun sebelum mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) pada 2018.

Selepas lebih 20 tahun berkhidmat di Utusan yang digulung secara sukarela pada 9 Oktober 2020, beliau kemudian bertugas di akhbar Sinar Harian terbitan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd (Karangkraf) sebagai Ketua Pengarang.

Beliau mula menjawat jawatan itu pada 1 April 2019 menggantikan Norden Mohamed memegangnya selama lapan tahun sejak 2009.

“Hari ini SinarHarian terpaksa merelakan sebuah lagi kepergian. Semoga Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, yang baru menghembuskan nafas terakhir beliau di PPUM damai di sana.

“Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik. Semoga Allah SWT memberikan syurga buat beliau.”

Kata Pengerusi Karangkraf, Datuk Husammuddin Yaacub dalam Facebooknya hari ini.

Terkini, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bilal Bin Rabbah, Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur untuk disembahyangkan.

Kemudian Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur. – SM

(Visited 631 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button