Ekonomipilihan

KitKat Borneo guna 100% biji koko premium Sabah, Sarawak

PRODUK baharu KitKat Dark Borneo yang dihasilkan oleh syarikat konglomerat Nestle, secara eksklusif dengan menggunakan 100% biji koko premium daripada Sabah dan Sarawak.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, produk baharu itu diperoleh hasil daripada sebuah perkongsian strategik di antara syarikat Nestle Malaysia dan agensi Lembaga Koko Malaysia (LKM) selaras dengan hala tuju kementeriannya.

“Kolaborasi bersama jenama terkemuka ini merupakan platform pemasaran yang menarik kerana dapat memberi peluang kepada pekebun-pekebun koko Malaysia untuk meningkatkan hasil dan mempamerkan keunikan biji koko dengan pengurusan tanaman mampan yang memanfaatkan semua pihak.

“Lembaga Koko Malaysia (LKM) juga akan melaksanakan projek tanaman baharu koko seluas 350 hektar dan projek Pemulihan Kebun Koko seluas 2,126 hektar dengan peruntukan sebanyak RM9.5 juta,” katanya.

Menurut Johari, harga koko pada ketika ini adalah tinggi yang mempunyai potensi untuk memberi pulangan kepada 5,317 pekebun kecil koko yang merangkumi 89 peratus (5,445 hektar) daripada kawasan tanaman koko di Malaysia.

“Saya sangat menggalakkan pekebun kecil koko untuk memanfaatkan peluang ini bagi meningkatkan pengeluaran dan seterusnya menghasilkan pendapatan yang lebih baik kepada mereka.

“Inisiatif ini dapat menghasilkan kesan limpahan ekonomi dan mempergiatkan aktiviti ekonomi di sepanjang rantaian bekalan sektor koko di Malaysia,” katanya.

Selain itu kata beliau, pengisar-pengisar di Eropah juga akan bergantung kepada negara-negara tropika seperti negara kita bagi membekalkan biji koko disebabkan oleh iklim dan cuaca yang sesuai.

“Oleh itu, kita mesti mengambil peluang ini untuk meningkatkan hasil dan pengeluaran biji koko, terutamanya biji premium yang mempunyai nilai tinggi seperti yang digunakan dalam produk KitKat Dark Borneo ini.

“Untuk makluman semua, industri koko menyumbang sebanyak RM8.2 bilion kepada hasil eksport negara.

“Pada tahun 2023, sebanyak 370,207 tan biji koko dikisar di Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai pengisar ke-5 terbesar di dunia, selepas Ivory Coast, Belanda, Indonesia dan Jerman.

“Hasrat kita adalah untuk meningkatkan hasil koko untuk di eksport dan seterusnya mengurangkan import biji koko ke dalam negara,” katanya. – SM

(Visited 56 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button