Rencah Hidup

Gading Kencana bina rumah untuk wira Senoi Praaq hidup daif

NASIB wira negara, bekas anggota Senoir Praaq, Konstabel Abri Bah Ali, 60, yang hidup penuh daif di perkampungan Orang Asli di Kampung Kuala Senta, Bidor, Perak dibela melalui projek Jiwa Murni.

Projek kemasyarakatan yang diusahakan oleh syarikat pembekalan tenaga boleh diperbaharui, Gading Kencana Sdn. Bhd. itu akan memulakan pembinaan rumah dua bilik dengan ruang tamu, dapur dan bilik air minggu ini dengan kos sebanyak RM20,000.

Beberapa anggota polis melawat Abri dan anaknya.

Menurut Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir. Guntor Tobeng, syarikatnya terpanggil untuk membantu Abri selepas mengetahui kehidupan daif yang ditempuhi wira negara itu ketika petugas Gading Kencana bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sahabat Jariah sedang melakukan kerja-kerja kemasyarakatan (CSR) di perkampungan Orang Asli baru-baru ini.

“Ketika itulah kami bertemu dengan Konstable Abri yang hanya berteduh di sebuah pondok usang bersama dengan anak lelaki yang berusia 13 tahun.

“Selepas diselidik mendapati beliau pernah berkhidmat dengan pasukan Komando Vat 69 dan pernah bertempur dengan komunis mempertahankan negara.

“Dengan niat untuk membantu bekas wira negara, pihak kami merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk membantu Konstable Abri,” kata Guntor.

Guntor sedang memberi penerangan kepada Tun Hanif.

Guntor mengumumkan Projek Jiwa Murni itu ketika kunjungan ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) ke Ladang Solar Berskala Besar Gading Kencana di Bidor, Perak baru-baru ini.

Turut hadir Penasihat Respa Tun Mohammed Hanif Omar, Presiden Respa Tan Sri Mohamad Ismail Che Ros dan Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerak Am Supt. Rosman Kasman.

Sementara itu Rosman berkata, lebih kurang tujuh orang anggota pasukan Batalion 3 PGA akan membantu pembinaan rumah Abri yang akan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Supt. Rosman Kasman

“Kalau kita lihat keadaan rumah dia ketika ini memang agak menyedihkan. Atapnya bocor. Kita boleh bayangkan dia dua beranak tinggal di rumah tersebut.

“Sementara rumah siap Abri dan anaknya akan tinggal di kuaters kediaman di kem Batalion 3 PGA,” kata Rasman.

Rosman berterima kasih kepada Gading Kecana kerana prihatin dengan nasib bekas anggota tentera dan boleh dijadikan contoh oleh syarikat-syarikat korporat.

Sementara itu tinjauan Suara Merdeka mendapati rumah Abri, 60, semenangnya begitu daif. Rumah tersebut tidak mempunyai bilik tidur, dapur dan bilik mandi.

Rumahnya juga tidak mempunyai daun pintu dan terbuka begitu sahaja pada waktu siang dan malam.

Selain itu tidak ada satu pun cermin kaca pada tingkap. Atap rumah itu telah berkarat, bocor dan ada yang tergantung dan hampir jatuh ke tanah.

Di ruang tamu dengan lantai papan yang reput dan hampir runtuh itulah Abri dan anaknya tinggal. Di situlah mereka makan dan tidur serta menggantung pakaian.

Terdapat ranting-ranting dan dahan kayu yang digunakan sebagai kayu api untuk memasak diletakkan di ruang tamu kerana khuatir basah ditimpa hujan.

Menurut Abri yang beberapa kali bertempur dengan pengganas komunis ketika berkhidmat, dia dan anaknya tidur menggunakan kelambu untuk menghalang gigitan nyamuk dan serangga pada waktu malam.

“Kalau hujan waktu malam, saya letak baju hujan atas kelambu halang air menitis atas tempat tidur sebab bumbung bocor,” kata Abri.

Mereka hanya menyalakan sebatang lilin pada waktu malam kerana rumah itu tidak mempunyai sumber tenaga elektrik.

Dua beranak itu memasak di luar luar menggunakan dapur kayu selain mandi di sungai berhampiran kerana tidak mempunyai bekalan air.

Abri berkata, dia tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa kerana merasakan hidupnya sudah mencukupi.

Abri bersama anaknya disamping papan peringatan mendiang bapanya Bah Ali Knchong yang merupakan pengasas Kampung Kuala Senta.

Pun begitu bekas anggota Senai Praaq itu mengucapkan terima kasih kepada Gading Kencana dan Batalion 3 PGA yang prihatin dan sudi membantu mereka anak beranak.

Senoi Praaq atau Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) merupakan sebuah batalion dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebahagian besarnya merupakan Orang Asli yang mempunyai ketangkasan, keberanian dan kemahiran ilmu hutan yang tinggi selain tidak gentar berdepan musuh. Senoi Praaq bermaksud ‘Orang Perang’. -SM

(Visited 584 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button