Politik

Khalid tidak sabar jadi menteri semula?

AHLI Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad disindir tidak sabar untuk menjadi menteri semula selepas mendakwa terdapat 30 ahli Parlimen UMNO menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pengarah Komunikasi Amanah itu kelihatan terdesak untuk menjadi menteri semula sehingga terpaksa bersandiwara.

Menurut Asyraf Wajdi, kalau betul Anwar mempunyai senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong, dia sepatutnya mendedahkan nama-nama tesebut.

“Wah! Tak sabar sangat nampaknya Abang Lid nak jadi Menteri balik, sampai terdesak kena bersandiwara juga. Kalau betul 30 orang MP UMNO sokong Anwar, dedahkan nama-nama mereka.

“Dengan YDP Agong pun Anwar Ibrahim boleh bersandiwara dengan hanya membawa ‘numbers’ bukan ‘names’ (senarai nama), apatah lagi rakyat,” sindir Asyraf Wajdi.

Beliau sekali lagi menegaskan UMNO tidak akan menyokong Anwar dan DAP.

“Seperti yang dipertegaskan, keputusan Majlis Tertinggi UMNO sehingga hari ini tidak pernah berubah iaitu UMNO tidak sesekali menyokong Anwar dan DAP. No Anwar, no DAP!.” kata Asyrar Wajdi.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah mendakwa 30 ahli Parlimen UMNO menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Dalam wawancara dengan tv internet Jom Channel malam tadi, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, Anwar turut membawa surat sokongan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negera.

“Saya difahamkan, selain surat-surat dari Mohamad Sabu yang mewakili Amanah dan surat Lim Guan Eng yang mewakili DAP, Datuk Seri Anwar juga membawa surat daripada Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyatakan 30 MP Umno, kalau tak silap saya, menyokong Anwar.

“Ia dikemukakan setakat itu sahaja tanpa SD. Namun, saya difahamkan surat Zahid Hamidi ada senarai namanya,” kata Khalid.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa Anwar mempunyai majoriti yang jelas iaitu kombinasi sokongan PKR (39), DAP (42), Amanah (11) dan 30 daripada UMNO.

Istana Negara dalam satu kenyataan dua hari lalu berkata, semasa sesi menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah, Anwar hanya mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan kepada beliau tanpa mengemukakan senarai nama ahli Parlimen yang didakwa menyokong dirinya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menasihatkan Anwar untuk akur dan menghormati Perlembagaan.-SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button