fbpx
Politik

Khalid akui lantik bekas SU Politik yang dikaitkan rasuah

KHALID Abdul Samad mengakui melantik bekas setiausaha politiknya, Azli Yusuf yang kini disiasat kes rasuah sebagai Ahli Lembaga Penasihat DBKL.

Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan turut mengakui Azli merupakan Ketua Amanah Kawasan Shah Alam sejak tahun 2015 dan bakal pimpinan pelapis yang akan mengantikannya.

Menurut Khalid, jawatan yang disandang Azli adalah non-executive dan hanya berfungsi menasihati Datuk Bandar dalam isu-isu dasar. Jelas beliau, Lembaga tersebut tidak memberi kelulusan untuk apa-apa permohonan.

“Ya saya yang lantik kerana dia berpengalaman sebagai Ahli Majlis MBSA selama dua sesi dan merupakan seorang profesional lulusan kejuruteraan dari sebuah universiti Amerika.

“Dengan pengalaman dan ilmunya dia dipercayai boleh menasihati Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam banyak persoalan,” kata Khalid dalam blognya.


Beliau menjawab soalan yang dilontarkan oleh bekas Perdana Meteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanyakan sama ada Azli merupakan setiausaha politik beliau.

Najib juga bertanya sama ada Khalid yang melantik Azli ke jawatan tersebut dan adakah Azli merupakan Ketua Bahagian PAN Shah Alam. Khalid turut menjawab soalan Najib berkaitan makna broker.

“Maksud ‘broker’ adalah orang seperti Jho Low. Takkan Jib tak tahu? Bukankah Jib dikatakan banyak gunakan khidmat beliau untuk bantu Melayu khususnya di Parlimen Pekan?

“Hanya dalam kes ni broker itu mendakwa dia wakili Hj. Azli. Tetapi ianya tak benar. Bukan seperti kes Jho Low yang dikatakan amat rapat dengan Jibby. Saya sertakan gambar sekiranya lupa,” kata Khalid.

Khalid sebelum ini mengakui bekas setiausaha politiknya telah ditahan polis. Beliau mendakwa nama setiausaha politiknya telah digunakan oleh seorang broker untuk mengaut keuntungan.

“Broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama Haji Azli yang konon telah mendapatkan ganjaran bagi pihaknya.

“Saya tidak boleh menceritakan lebih dari itu kerana kes ini masih dalam siasatan polis. Saya diberitahu broker berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah menjual nama ini. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya.” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad sebelum ini mengesahkan menahan bekas setiausaha politik Khalid serta sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung aduan sebuah firma arkitek mengenai arahan pembangunan (DO) palsu.

Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Mohd Zakaria bagaimanapun enggan mengulas lanjut.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button