Politik

Apa motif tuduhan liar Annuar Musa terhadap Presiden UMNO?

SELEPAS dipecat daripada jawatan Setiausaha Agong Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa tidak putus-putus menyerang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan pelbagai tuduhan liar.
Hari-hari ibarat zikir Annuar menuduh Zahid pecat beliau, UMNO mahu Anwar jadi Perdana Menteri, UMNO mahu bergabung dengan DAP dan UMNO sudah berpecah.
Sedangkan Annuar Musa orang yang paling faham bahawa institusi kepresidenan parti harus dipelihara dan bukan dicerca setiap hari.
Ramai yang berpendapat sebenarnya Annuar seolah-olah meminta dipecat, jadi mudahlah beliau untuk menyertai Bersatu, iaitu parti yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bila dipecat beliau tidaklah perlu melompat dan tidak akan dituduh sebagai pengkhianat oleh para penyokongnya di Parlimen Ketereh dan jika beliau bertanding di atas tiket Bersatu peluang untuk menang adalah cerah.
Calon Bersatu yang tewas kepada beliau pada pilihan raya lalu Radzi Jidin yang juga Menteri Pendidikan perlu mencari kawasan lain yang selamat untuk bertanding.
Jika di Amerika Syarikat Donald Trump paling aktif menggunakan Twitter, tetapi di Malaysia Annuar boleh disamakan dengan Trump.
Pulang dari Langkawi Annuar tweet minta ‘ceasefire’. Tapi selepas itu beliau terus menyerang Zahid.
Tindakan Annuar sebenarnya menjadi punca kepada perpecahan parti. Dalam satu pertemuan Annuar bahkan bersetuju sebenarnya akar umbi UMNO tidak wujud. Akar umbi ini hanya timbul di kawasan-kawasan yang parti itu kalah, jadi bila alasan akar umbi menolak kerjasama dengan Bersatu, menyebabkan beliau tidak bersetuju. Apa yang berlaku hanya sejumlah bahagian mengemukakan usul itu ketika mesyuarat bahagian yang lalu.
Dalam temu bual beliau di Mingguan Malaysia Annuar mendakwa UMNO akan luput jika tersalah pilih pakatan di PRU-15 nanti.
Nampaknya Annuar sendiri sudah hilang keyakinan dengan kekuatan partinya sendiri dan terpaksa menumpang parti Muhyiddin.
Jika itu sikap beliau, Annuar memang layak dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung. Ini adalah kerana jawatan Setiausaha Agung adalah orang yang benar-benar serta paling setia dan berusaha untuk parti.
Jika kaki beliau telah satu setengah melangkah ke parti lawan di mana lagi letak setia dan usahanya.
Setiausaha agung apa yang sengaja mengilas tangan UMNO dengan slogan No Anwar, No DAP. Setiausaha agung seharusnya berfikiran lebih terbuka kerana politik kini sangat dinamik dan tidak boleh menutup sebarang kemungkinan.
Selepas 11 bulan di dalam Perikatan Nasional (PN) Bersatu bukanlah rakan yang jujur, manakala Pas sudah menjadi lembu bisu dek lunaknya berada di tampok kekuasaan.
Annuar juga orang yang bertepuk tangan puas apabila Muhyiddin berjaya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat dan sekaligus menyebabkan UMNO mati langkah.
Annuar seolah-olah lupa bagaimana UMNO terus bangkit walaupun pernah berpecah ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad berperang dengan Tengku Razaleigh Hamzah hingga parti itu diharamkan.
Begitu juga ketika Dr. Mahathir berperang dengan anak didiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya menubuhkan parti Keadilan.
Yang terbaharu tentulah ketika tewas buat pertama kali pada pilihan raya umum. UMNO bangkit kembali dan berjaya mencapai kemenangan demi kemenangan pada pilihan raya kecil, tanpa pertolongan Bersatu.
Jika diizinkan yang maha esa, parti UMNO tidak akan luput sebagaimana didendang, sebaliknya Annuar yang akan menerima nasib sedemikian.
Beliau akan dikuburkan oleh para penyokongnya sendiri jika berterusan bersikap musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan.
(Visited 1,718 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button