Nasional

Keterlaluan kepung ladang, jadikan peladang durian rakan strategik

TINDAKAN pihak berkuasa mengepung kawasan ladang durian di Raub, Pahang serta meletakkan anggota keselamatan disifatkan sebagai tindakan yang keterlaluan.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menyeru kebijaksanaan Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani isu melibatkan pekebun ladang durian berkenaan.

“Selama ini mereka mengusaha tanah kerajaan tanpa bantuan. Kini bila ianya nampak membuahkan hasil lumayan, maka kerajaan negeri bertindak demikian.

“Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang menyeru kepada kebijaksanaan
pihak Kerajaan Negeri dalam menangani isu ini.

“Jangan sampai usaha pekebun selama 30 tahun jadi sia- sia. Tentu sekali boleh di cari jalan penyelesaian menang-menang. Janganlah sampai yang menang ambil semua dan yang kalah rugi segalanya,” kata Fuziah dalam satu kenyataan.


Dua hari lalu sekumpulan pekebun yang mengusahakan tanaman durian atas tanah kerajaan tanpa kebenaran dan diancam pengusiran memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan isu itu.

Jelas Fuziah, Pahang bernasib baik kerana mempunyai pengusaha penanam durian tersebut yang telah mencurahkan titik peluh selama lebih 30 tahun sehingga dapat menghasilkan durian jenis musang king yang kini diiktiraf dunia.

Menurutnya, walaupun pekebun berkenaan bermula dengan meneroka di tanah kerajaan namun bukan sedikit modal yang dilaburkan selama ini.

“Kini tiba masanya Kerajaan Negeri mencari jalan yang membawa keuntungan kepada pihak kerajaan dimasa yang sama tidak meminggirkan pengusaha ladang yang bertungkus lumus selama ini.

“Formula bagaimana Kerajaan Negeri boleh mengutip hasil yang di kongsi bersama dengan
pengusaha mestilah di terokai.

“Model perniagaan strategik diantara pekebun dengan kerajaan di negara lain boleh juga di jadikan pedoman dan garis panduan,” kata Fauziah.

Kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dilaporkan akan mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos ini.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dalam kenyataan sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan, sama ada didakwa di mahkamah atau dimusnahkan tanaman berkaitan, jika terdapat pihak yang menceroboh selepas tarikh itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sallehuddin Ishak berkata Pahang rugi RM30 juta hasil cukai tanah susulan pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.-SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button