Nasional

Hari pertama dikuatkuasa: 127 dikompaun tidak pakai pelitup muka

SERAMAI 127 orang telah ditahan dan dikompaun kerana tidak tidak memakai pelitup muka pada hari pertama perintah tersebut dikuatkuasakan semalam.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka antara 315 individu yang telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan semalam.

Malaysia telah menguatkuasakan peraturan baharu mewajibkan semua individu memakai pelitup muka ketika menggunakan pengangkutan awam dan berada di tempat awam yang sesak bermula 1 Ogos.

Peraturan baru itu dikenakan selepas jumlah kes positif Covid-19 kembali mencatatkan kenaikan sejak beberapa hari lalu dengan kluster jangkitan baharu turut dikesan di beberapa negeri termasuk Sarawak.

Peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sesiapa yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Di bawah akta itu pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama . Mereka yang didapati melakukan kesalahan berulang berdepan hukuman lebih berat.

Sementara itu, seramai 3 individu telah direman kerana gagal mematuhi SOP. Seramai 38 orang telah dikompaun kerana melakukan .aktiviti yang tidak mengikuti prosedur operasi standard dan 150 orang lagi dikompaun kerana melakukan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 63,473 pemeriksaan semalam (1 Ogos 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 3,226 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 14,327 anggota telah membuat pemantauan di 3,821 pasar raya, 5,545 restoran serta 1,954 penjaja, 1,326 kilang, 3,602 bank dan 820 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,132 terminal pengangkutan darat, 138 terminal pengangkutan air serta 40 terminal pengangkutan udara.

PDRM juga telah mengambil tindakan terhadap 28 individu yang pulang dari luar nehata kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah seperti yang ditetapkan.

Semalam PDRM telah melakukan 2,263 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine).

Sejak 24 Julai sehingga 1 Ogos 2020, seramai 4,286 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 16 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor. Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mereka telah pulang dari 24 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea dan Australia.-SM

 

(Visited 249 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button