MahkamahNasional

Kes DJ radio Ismahalil edar dadah dipindah ke Mahkamah Tinggi

Dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB 1952

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kes penyampai radio, Ismahalil Hamzah yang dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 409 gram tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majistret Wong Chai Sia mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Phulrani Kaur untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan, menurut laporan Bernama.

Sementara itu, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Ismahalil ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada Jabatan Kimia yang mendapati berat dadah itu berkurangan daripada 409 gram kepada 374.6 gram.

“Bagaimanapun, kes itu masih bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.


Ismahalil, 49, didakwa mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 409 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada pukul 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Turut hadir dalam prosiding hari ini ialah isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abdul Manaf, 49, dan anak lelaki mereka yang berusia 13 tahun. – SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button