Nasional

KPDNHEP Melaka rampas baja, gula bernilai RM4.5 juta

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merampas 200 tan baja sebatian bersubsidi dan 300 tan gula pasir keseluruhan bernilai RM4.5 juta dalam serbuan di sebuah gudang di kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.00 pagi oleh empat anggota penguatkuasa adalah hasil risikan selama sebulan yang dijalankan sebelum ini.

Menurutnya, setelah memperolehi bukti selepas seminggu risikan dilakukan barulah penguatkuasa menyerbu gudang tersebut serta menahan dua pekerja warga asing yang dipercayai menjaga premis tersebut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas gudang tersebut mendapati pemiliknya sebuah syarikat pemborong tidak jauh dari situ menyimpan barangan kawalan di premis berkenaan yang tidak dilesenkan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Baja sebatian bersubsidi berjumlah 200 tan bernilai RM3.5 juta dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka.

Jelasnya, anggaran untuk 200 tan baja sebatian bersubsidi bernilai RM3.5 juta dan 300 tan gula pasir pula bernilai RM855,000.

“Kita tidak tahu bagaimana baja bersubsidi hak milik kerajaan dan tidak boleh dijual beli boleh disimpan di gudang ini tanpa lesen yang sah.

“Begitu juga 300 tan gula yang didakwa oleh pemiliknya sebagai sudah rosak tetapi dipercayai mungkin tenggelam dalam banjir telah disimpan di sini dan dipercayai dijual kepada industri berdekatan dengan harga yang murah,” ujarnya kepada pemberita di kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini.

Norena berkata, serbuan dan rampasan yang dilakukan kali ini adalah yang terbesar berjaya dilakukan oleh KPDNHEP setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya telah merakamkan percakapan dua saksi yang merupakan penjaga gudang berkenaan berusia antara 25 hingga 30 tahun.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengetahui bagaimana gudang tersebut boleh menyimpan baja bersubsidi dan gula dalam jumlah yang besar.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 20 (1) AKB 1961 dan dibaca bersama di bawah peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

“Jika sabit kesalahan denda RM1 juta dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun bagi individu manakala bagi syarikat pula boleh didenda tidak lebih daripada RM3 juta bagi kesalahan pertama bagi kesalahan berulang denda RM5 juta,” ujarnya. – SM

(Visited 365 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button