Nasional

Kes demam denggi turun 5.4 peratus

PADA Minggu Epidemiologi ke-17 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak  1,775 kes berbanding 1,877 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 102 kes (5.4 peratus.

Tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 36,997 kes berbanding 12,941 kes  bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 24,056 (185.9 peratus).

“Manakala sejumlah 22 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding tujuh (7)  kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.

“Sebanyak 103 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 116 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 58 lokaliti berada di Negeri Selangor, 25 lokaliti di Pulau Pinang, tujuh (7) lokaliti di Sabah, enam (6) lokaliti di WPKL & Putrajaya, lima (5) lokaliti di Perak, dan masing-masing satu (1) lokaliti di
Kedah serta Sarawak.

“Survelan chikungunya merekodkan sebanyak empat (4) kes pada minggu ke-17 dengan dua (2) kes dari Selangor dan masing-masing satu (1) kes dari Kedah serta Perak. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 124 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 973 sampel darah dan 37 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, terdapat pelbagai jenis tempat pembiakan nyamuk di persekitaran antaranya bekas penyimpanan air, sampah, barang lusuh/ bahan buangan atau struktur buatan manusia.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai pastikan tiada bekas berpotensi pembiakan nyamuk Aedes dengan melupuskan barang lusuh, sampah atau bekas yang tidak digunakan di tempat yang telah ditentukan.

“Bubuh bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas penyimpanan air, contohnya tong, kolah air dan pam tandas yang tidak digunakan.

“Periksa dan buang air yang bertakung pada alas penapis air, alas pinggan, bekas makanan haiwan yang terbiar, alas pasu dan sebagainya.

“Selain melakukan aktiviti cari dan musnah bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes, masih terdapat banyak tempat persembunyian nyamuk di persekitaran kita.

“Maka, lakukan semburan aerosol di belakang langsir, pada pakaian bergantungan di belakang pintu, di bawah  meja, kerusi dan katil serta di tempat-tempat yang gelap bagi membunuh nyamuk Aedes dewasa.

“Pasang jaring nyamuk (mosquito mesh) di tingkap dan pintu rumah bagi menghalang nyamuk memasuki  kediaman. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” kata beliau. – SM

(Visited 55 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button