Nasional

Kemalangan basikal di Putrajaya meningkat dua kali ganda

STATISTIK kemalangan melibatkan penunggang basikal di Putrajaya meningkat sekali ganda pada tahun lalu berbanding pada 2019.

Ketua Polis Daerah Putrjaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, mengikut laporan statistik hanya enam kes kemalangan melibatkan penunggang basikal dicatatkan pada 2019.

“Berbanding pada tahun lalu, angka itu meningkat ke 13 kes dengan satu kes maut dilaporkan di Putrajaya.

“Susulan itu, kita telah menjalankan Operasi Khas Basikal bermula 1 hingga 3 Januari ini untuk tujuan advokasi dan tindakan penguatkuasaan bermula 9 dan 10 Januari depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Fadzil, aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Ujarnya, ciri-ciri keselamatan basikal termasuklah lampu hadapan yang seharusnya dilengkapi dengan brek serta loceng bagi membolehkan penunggang basikal menunjukkan kehadiran kepada pengguna jalan raya yang lain juga perlu dipandang serius.

“Penunggang basikal yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

“Penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah-Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan seperti brek dan loceng,” katanya.

Tambahnya, penunggang basikal dinasihatkan agar mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas jalan raya demi menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. -SM

(Visited 698 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button