Kemalangan

Pelajar maut digilis kereta

Seorang pelajar sekolah maut selepas digilis sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Air Baruk, Jasin, Melaka hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.22 pagi, melibatkan sebuah motosikal, lori dan kereta.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, remaja yang maut dikenali sebagai Muhammad Syahmiasyraf Mohd. Zaini, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bendahara.

Menurutnya, mangsa yang maut adalah pembonceng motosikal yang ditunggang rakannya, Muhammad Nor Zulkifli Norian, 16, juga pelajar SMK Dato Bendahara.

Katanya, pelajar terbabit mengalami cedera di kepala, kaki serta tangan mendapat rawatan di Hospital Jasin.

“Siasatan lanjut mendapati lori jenis Inokom datang dari arah Kesang menuju ke bandar Jasin. Apabila sampai di tempat kejadian pemandu lori memperlahakan kenderaannya kerana terdapat sebuah van berhenti masuk ke sebuah simpang.

“Semasa bergerak perlahan, tiba-tiba sebuah motosikal jenis Honda C100 ditunggang dua pelajar itu melanggar bucu kanan belakang lori itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke lorong bertentangan,” ujarnya di sini hari ini.

Ahmad Jamil berkata, kebetulan lalu sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang wanita datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu menggilis pembonceng motosikal.

Menurutnya, remaja terbabit mendapat kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya pula dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kepada pemandu lori dan pemandu kereta yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Senggeh,” ujarnya.

Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button