fbpx
Nasional

13 pelatih PUSPEN Gambang bolos

SERAMAI 13 pelatih lelaki Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang di sini, melarikan diri daripada asrama pusat itu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kehilangan suspek yang berasal dari Terengganu, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur itu hanya disedari pada 5.30 pagi tadi, apabila mereka tidak menghadiri pemeriksaan pagi.

Beliau berkata polis percaya mereka telah membuat persediaan rapi untuk melarikan diri sekitar pukul 2.00 pagi, berdasarkan penemuan papan polisterin tertera lakaran kedudukan asrama dan pagar, serta laluan untuk keluar dari pusat itu.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mereka ini diketuai pelatih bernama Ahmad Asmani Rosdi yang dihantar ke PUSPEN Gambang pada 18 Sept lalu yang bertindak sebagai perancang utama,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata semasa kejadian, difahamkan terdapat tujuh anggota polis bantuan yang bertugas mengawasi 167 pelatih berumur di antara 18 dan 25 tahun.


Mereka yang melarikan diri ialah Ahmad Asmani, 21; Mohd Faiz Aizat Zulkifli, 23; Muhammad Shafiq Ikmal Abdullah, 22; Muhammad Hazuraidi Hashim, 24; Mohd Arif Asyraf Sudin, 23; Muhamad Shafiq Adha Ali, 23, dan Mohamad Sharizal Norizan, 25.

Turut terlibat ialah Muhammad Shahrul Nizam Pauzi, 21; Muhammad Zaharul Haffiz Mohd Harun, 24; Mohamad Aliff Norazlie, 23; Muhammad Ridzuan Abdullah, 23; Muhammad Amirul Shazwan Mohd Zain, 19 dan Muhammad Fathi Syahmi Zakaria, 20.

Mohamad Noor berkata operasi mengesan pelatih berkenaan dijalankan dengan bantuan pihak PUSPEN Gambang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melibatkan kawasan ladang sawit dan kawasan perumahan berhampiran serta laluan keluar masuk ke Kuantan dan terminal pengangkutan awam.

“Kita berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai pelatih berkenaan dapat membantu dengan menghubungi polis,” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button