Politik

Syarat KWSP, moratorium: Maaf YB Pasir Mas, ini bukan soal hikayat

SYARAT yang dikenakan oleh Barisan Nasional terhadap Kerajaan bagi meluluskan Belanjawan 2021 bukan satu hikayat.

Sebaliknya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, syarat agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan simpanan RM10,000 dan moratorium dilanjutkan adakah satu hakikat berkaitan rakyat.

“Minta maaf ya sahabatku YB Pasir Mas! Ini bukan soal hikayat Puteri Gunung Ledang, ini soal hakikat rakyat yang cuba Ahli-Ahli Parlimen BN terutamanya Datuk Seri Najib Razak perjuangkan dan suarakan.

“Hakikatnya; rakyat memang susah dan gelisah, rakyat memang ramai hilang pekerjaan, rakyat memang tak cukup wang untuk kehidupan,” tegas Asyraf Wajdi.

Ahli Parlimen Pasir Mas (Pas) Ahmad Fadhli Shaari dalam Dewan Rakyat hari ini menyifatkan ‘sokongan bersyarat’ BN terhadap Belanjawan 2021 yang dinyatakan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.

Dia juga berpendapat, amat janggal untuk ahli parlimen Pekan mengenakan sokongan bersyarat seperti itu.

“Sedikit berbeza dengan ahli parlimen lain, saya rasa meletakkan syarat sokongan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) Akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium agak janggal kerana ia tiada keperluan dalam Belanjawan 2021 ini.

“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan Melaka membuat jambatan (emas), hidangan (hati) nyamuk sekian, sekian, namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu,” Ahmad Fadhli.

Menurut Asyraf Wajdi, apa yang diminta dan disyaratkan oleh BN hanyalah berkaitan apa yang rakyat mahukan.

“Bukan sesukar membina jambatan untuk sultan mahupun hidangan nyamuk untuk dijadikan alasan menolak pinangan.

“Yang disyaratkan hanyalah untuk rakyat merasa wang mereka sendiri daripada caruman di Akaun 1 KWSP dan juga lanjutan moratorium bagi meneruskan kelangsungan hidup di tengah-tengah hambatan dan kesempitan yang begitu mencemaskan,” kata Asyraf Wajdi.

Semalam, Najib berkata, sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 kali ini adalah sokongan bersyarat, kerana, Umno masih menuntut kerajaan supaya melanjutkan moratorium selama enam bulan dan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.-SM

 

(Visited 434 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button