Politik

Kerajaan ‘halimunan’ takkan bantu tangani Covid-19

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa hentikan polemik peralihan kuasa Kerajaan Persekutuan apabila mendakwa mendapat majoriti cukup untuk menubuhkannya.

Sebaliknya, semua pihak baik kerajaan mahupun pembangkang, kedua-duanya perlu berganding membantu menangani Covid-19 dan kebajikan rakyat.

Cetusan peralihan kerajaan yang disifatkan sebagai kerajaan ‘halimunan’ itu tidak meredekan krisis yang dihadapi sekarang.

Bahkan, ia menambah kecelaruan dan kestabilan politik dalam situasi yang mencetuskan kebimbangan rakyat jika terpaksa berhadapan dengan pilihan raya sekali lagi.

“Saya mengatakan kerajaan Anwar Ibrahim adalah kerajaan ‘halimunan’ kerana hingga ke hari ini beliau tidak lagi mendedahkan jumlah sokongan terhadapnya.

“Rakyat tidak sanggup lagi menghadapi pertukaran kerajaan dan krisis kepimpinan dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini.

“Fokuslah tentang isu rakyat buat masa ini. Ini bukan masanya untuk kemaruk kuasa dan mengejar kepentingan peribadi. Tolong jaga sensitiviti rakyat!”

Demikian tegas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Najmil Mohamed Faiz, malam tadi menerusi satu kenyataannya malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Presiden PKR yang memaklumkan sedang menunggu tarikh baharu untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Anwar dalam satu sidang media khas yang dihadiri isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Malah, beliau mendakwa mempunyai majoriti yang lebih kukuh, stabil dan meyakinkan berbanding Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau enggan mendedahkan jumlah dan senarai Ahli Parlimen yang menyokong beliau kerana mahu persembahkan kepada As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah terlebih dahulu.

Oleh demikian, Najmil Faiz menggesa beliau membantu rakyat dalam menangani krisis pandemik Covid-19 daripada meneruskan niatnya untuk menubuhkan kerajaan ‘halimunan’.

“Di kala negara masih tidak stabil dengan pandemik Covid-19, Anwar Ibrahim masih lagi cuba untuk menubuhkan kerajaan halimunannya dengan kononnya mempunyai sokongan majoriti.

“Tindakan ini jelas menjejaskan kestabilan politik negara dan hanya membangkitkan kemarahan rakyat.

“Tolonglah sensitif dan peka dengan masalah yang dihadapi rakyat. Ada yang hilang kerja dan penamatan tempoh moratorium menambahkan lagi beban rakyat,” katanya. – SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button