fbpx
Politik

Undang-undang antilompat perlu digubal bagi elak Ahli Parlimen lompat parti

PENGGUBALAN undang-undang antilompat parti perlu digubal pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang bagi menghalang ahli parlimen daripada beralih parti.

Majlis Peguam berpendapat Malaysia telah berdepan beberapa pergolakan politik yang serius sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Majlis Peguam berpandangan bahawa tidak ada sekatan bagi Parlimen untuk menggubal undang-undang anti lompat parti di peringkat persekutuan meskipun bercanggah dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1992 dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & satu lagi menentang Nordin bin Salleh & satu lagi. Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap warganegara mempunyai hak untuk berpersatuan.

“Namun turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita di bawah Perkara 10(2) ialah Parlimen, melalui undang-undang, boleh mengenakan sekatan yang dianggap perlu atau bermanfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian daripadanya, ketenteraman awam atau moral.

“Kami berpendapat bahawa beralih parti selepas diundi rakyat merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kepada mereka. Perlakuan sedemikian adalah politik yang tidak beretika dan perlu dielak bagi memelihara struktur demokratik di negara kita,” kata Presidennya Salim Bashir dalam satu kenyataan.


Beliau berkata undang-undang anti lompat parti adalah mustahak untuk memperkukuh kestabilan politik dan kepercayaan umum terhadap proses demokratik selain tidak menjejaskan keputusan yang dibuat oleh pengundi.

Justeru itu, tindakan melompat parti atau berpaling tadah sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen seharusnya dijadikan sebagai satu perbuatan yang tidak sah bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan integriti perlembagaan, katanya. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button