Politik

Kerajaan guna Covid-19 untuk halang peranan Parlimen

KERAJAAN Pakatan Nasional (PN) cuba menggunakan wabak Covid-19 untuk menghalang Parlimen daripada menjalankan peranannya sebagai peneliti dan penyemak imbang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, dengan latar belakang Koridor Raya Multimedia, sepatutnya Parlimen Malaysia menjadi Parlimen pertama di dunia yang mengadakan persidangan secara maya.

Malah, katanya, satu tinjauan terhadap Parlimen di seluruh dunia menunjukkan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di mana Parlimennya dihalang daripada menjalankan tanggungjawab.

“Parlimen di kebanyakan negara lain menjalankan tugas mereka untuk meneliti tindakan kerajaan dalam menangani isu-isu epidemiologi dan sosio-ekonomi yang berpunca daripada wabak Covid-19 ini.

“Tambahan pula, terdapat beberapa Parlimen yang telahpun menubuhkan jawatankuasa pilihan khas baharu berkaitan dengan wabak ini.

“Sebagai contoh, Dewan Rakyat di Kanada telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Wabak Covid-19 pada 20 April yang bermesyuarat melalui persidangan video dua kali seminggu,” katanya melalui kenyataan di blognya.

Menurut Kit Siang, Parlimen New Zealand pula telah menubuhkan Jawatankuasa Tindak Balas Epidemik yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk meneliti tindakan kerajaan.

Manakala di United Kingdom pula, beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas telah mengadakan sesi soal jawab atas talian untuk menyiasat pelbagai aspek rancangan kerajaan dalam menguruskan wabak Covid-19.

“Ini juga termasuk isu-isu berkaitan penjarakan sosial dan kawalan pergerakan yang menimbulkan pelbagai isu kepada wanita dan kanak-kanak yang hidup di dalam isi rumah yang terdedah kepada risiko keganasan rumah tangga. Isu-isu hak asasi manusia berkaitan dengan tindakan kerajaan dalam mengawal penularan wabak ini turut dibincangkan.

“Kerana inilah cadangan daripada beberapa pakar akademik supaya platform atas talian seperti Zoom, Microsoft Teams, Cisco Web Meetings, ataupun Google Meet digunakan untuk mengadakan persidangan penuh Parlimen secara atas talian — dan bukannya persidangan sehari yang tidak masuk akal — ini tidak mungkin diberikan perhatian yang sepatutnya,” katanya.

Katanya, masalah bukanlah ketiadaan teknologi maklumat, tetapi ketiadaan kehendak politik di dalam kerajaan PN untuk memastikan Dewan Rakyat kekal memainkan peranannya dalam meneliti dan menyemak imbang segala tindakan kerajaan semasa negara kita dilanda wabak Covid-19.

“Ia perlu bagi memastikan tidak berlakunya penyalah-gunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, kembalinya kleptokrasi, dan pencabulan hak asasi manusia secara meluas,” katanya. – SM

(Visited 76 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button