Politik

Lim Kit Siang paling layak diangkat Ketua Pembangkang

KOMENTAR

DALAM tempoh sebulan bahang COVID-19 ini, siapa agaknya yang paling kerap menujah kerajaan dengan menuntut itu ini?

Ini terutama yang sering diulang-ulangnya supaya dipanggil segera sidang Dewan Rakyat? Malah dia yang terkehadapan berbanding dua pesaing jawatan Ketua Pembangkang – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ya, beliau tak lain tak bukan, pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang. Jadi, apa yang susah sangat untuk Pakatan Harapan (PH) memilih Ketua Pembangkang yang baharu menjelang sidang Dewan Rakyat satu hari pada 18 Mei ini?

Calonnya sudah ada, malah hebat pula kerana partinya kini cukup dominan dalam PH. Dari segi penguasaan kerusi Parlimen dan DUN di seluruh Malaysia, DAP sudah menang. Untuk kerusi Parlimen sahaja, 42 kerusi dalam tangan – mengatasi PKR yang baru saja hilang 11 daripada 50 kerusi, Februari tahun ini.

Nak bagi jawatan ketua pembangkang kepada Dr. Mahathir? Eh! bukankah Bersatu kini sudah terbelah dua. Satu kem dengan bilangan ahli Parlimen Bersatu yang ramai berada di pihak presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hanya beberapa kerat sahaja dengan Dr. Mahathir.

Katakanlah, DAP atau Kit Siang enggan jadi ketua pembangkang hanya barangkali untuk meyakinkan orang Melayu bahawa pakatan pembangkang dikuasai pemimpin Melayu (padahal yang sebenarnya ia dikuasai DAP) dan pemimpin Melayu hanya dijadikan boneka politik mereka, maka DAP haruslah secara habis-habisan melenyapkan stigma tersebut.

DAP lebih tepat lagi Kit Siang haruslah segera menyesuaikan diri dengan new normal atau normal/kebiasaan baharu selepas musim COVID-19 ini, dengan menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa DAP lah sebenarnya big brother dalam PH.

Usah main nyorok-nyorok lagi. Rakyat sudah cerdik untuk menilai wibawa pihak yang membangkang. Kalau hitam, hitamlah. Kalau putih, putihlah.

Lagipun, peranan membangkang (to oppose) dan mengkritik yang dimainkan oleh parti pembangkang amat perlu dalam mempertahan serta mempertingkatkan lagi keberkesanan sesebuah kerajaan. Seperti yang dinyatakan oleh John Stuart Mill bahawa “Both teachers and learners go to sleep at their post, as soon as there is no enemy in the field.”

Kritikan dari pihak pembangkang akan sentiasa memperingatkan pihak pemerintah supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas dan menyedari akan had-had kuasanya.

Reaksi daripada pihak pembangkang boleh mencerminkan kecekapan sesebuah kerajaan. David Apter telah menggambarkan parti pembangkang sebagai sebuah ‘barometer’, iaitu:

Just as the fluctuations in the glass of a barometer indicate information about the weather, so the rise and fall of support to an opposition indicates to government the effectiveness of its policies.

Dan Kit Siang pun bukan sembarangan orang. Bapa kepada bekas menteri kewangan Lim Guan Eng ini pernah mengetuai blok Pembangkang Parlimen Malaysia dari 1974 hingga 1999 dan 2004-2008.

Beliau cukup lasak sebagai agen semak dan imbang kepada kerajaan serta mendedahkan banyak skandal.

Pernah ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerana kelantangannya menjadi suara rakyat. Atas usahanya itu, beliau diiktiraf sebagai prisoner of conscience oleh Amnesty International.

Cuma kegagalan paling besar DAP adalah masih lagi diidentifikasikan dengan kaum Cina dan kurang memperoleh sokongan yang sewajarnya daripada kaum Melayu.

Lihatlah resume Kit Siang. Beliau ke sana ke sini bertanding pilihan raya merentasi negeri.

Wartawan dedikasi The Straits Times di Singapura dari tahun 1959 hingga 1965 ini hanya gagal dua kali sepanjang perjuangan politiknya iaitu dalam pilihan raya kecil 1969 di Serdang dan pilihanraya umum 1982 di Bandar Hilir, Melaka.

Tak mengalah, tak gentar. Persaingan di kerusi-kerusi pilihan raya termasuklah di negeri kelahiran UMNO, Johor pun habis dipulunnya.

Cuma seperti yang disebutkan tadi, Kit Siang sehingga kini masih gagal membentuk imej partinya supaya lebih bercorak Malaysia. Namun beliau tidak pernah mengalah malah berusaha gigih untuk mendapatkan sokongan dari kaum Melayu.

Renungkan sejenak pencapaian Kit Siang berikut:

AHLI PARLIMEN

Bandar Melaka (1969 – 1974)
Kota Melaka (1974 – 1978)
Petaling Jaya (1978 -1982)
Kota Melaka (1982 – 1986)
Tanjong (1986 – 1999)
Ipoh Timur (2004-2013)
Gelang Patah (2013-2018)
Iskandar Puteri (sejak Mei 2018).

Ahli Dewan Undangan Negeri:
Kubu, Melaka (1974 – 1982);
Kampong Kolam, Penang (1986 – 1990); dan
Padang Kota, Penang (1990 -1995)

Pengalaman Politik
1969 – Ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 18 bulan.
1979 – Didakwa dengan lima pertuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan perjanjian senjata api yang tidak telus antara kerajaan dan syarikat Switzerland.
1987 – Ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 17 bulan (Operasi Lalang).

Jadi, buat apalah dituding-tuding kepada Anwar lagi untuk diangkat sebagai Ketua Pembangkang?

Atau mengapa hendak dibebankan kepada Dr. Mahathir yang sudah menjangkau 94 tahun untuk pikul tanggungjawab tersebut?

Kit Siang kan ada. Ini normal baharu DAP. Ayuh DAP buktikan anda lah yang paling berwibawa sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. – SM

(Visited 559 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button