NasionalNegeriPendidikan

Pelajar perlu bijak urus tekanan di rumah, di sekolah – Raja Muda

Setiap pelajar perlu bijak menguruskan sebarang tekanan sama ada di rumah mahupun di sekolah. Murid yang cemerlang akan berjaya mengawal dan memastikan emosi mereka positif meskipun sibuk dengan jadual persekolahan yang padat serta aktiviti di luar kelas seperti bersukan dan kelas tambahan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bersikap tenang semasa menghadapi tekanan merupakan salah satu kecerdasan emosi yang membolehkan pelajar untuk mentafsir, memahami dan menguruskan emosi diri sendiri dan juga orang di sekeliling mereka.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan bertitah pada perasmian Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Perlis.

“Pelajar perlu melengkapkan diri dengan ilmu, berpegang teguh kepada agama dalam asas pemikiran dan kehidupan yang boleh menjadi suri teladan. Nescaya emosi anda akan lebih tenang, sempurna dan sejahtera”, titah Baginda lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis dihadiri 590 orang pelajar anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Jalan Raja Syed Alwi, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke program bertemakan ‘Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ itu disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Guru Penolong Kanan 1 SMK Perlis yang menjalankan tugas-tugas Pengetua, Zuhana Mazwin Has-yun Hashim.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen bergambar dengan guru dan pelajar sempena Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Perlis.

Menurut Zuhana Mazwin Has-yun, SMK Perlis telah berjaya meraih pelbagai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum antaranya menerusi peningkatan peratus keseluruhan SPM 2022. Pada tahun 2021 peratus keseluruhan mencatat 88.62 peratus meningkat ke 90.95 peratus pada tahun 2022 dan bilangan murid yang mendapat semua A dalam mata pelajaran seramai empat orang.

Pelajar SMK Perlis turut mewakili negeri ini dalam Kejohanan Tenis Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) dan kontinjen Perlis membawa pulang satu emas dan dua gangsa manakala Muhammad Nizar Darwisy Mohd Shukri dari kelas 1 KRK telah menyertai The 18th Hong Kong Wushu International Championship.

Majlis itu turut dimeriahkan lagi dengan perasmian 7°corner yang telah disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima sembah mengadap pelajar semasa merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Perlis.

Sudut ini akan digunakan bagi aktiviti murid secara formal dan tidak formal seperti perjumpaan ringkas guru dan murid, sesi pembelajaran luar bilik darjah, dan juga ruang rehat bagi pelajar untuk mengisi masa lapang.

Tuanku Rja Muda menzahirkan agar seluruh warga SMK Perlis akan menjalankan tugas masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab dengan tujuan menjadikan sekolah ini antara sekolah yang terbaik di negeri Perlis. – SM

BACA 300 pelajar sertai Kem Jati Diri Belia Perlis (Youth2Unity@Patriotic)

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button