fbpx
Nasional

Kementerian Pertanian selamatkan RM6 bilion hasil laut negara

PRIHATIN terhadap nasib nelayan tempatan yang terjejas mata pencarian akibat pencerobohan nelayan asing mengaut hasil perikanan secara haram sehingga merosakkan ekosistemnya, telah mendorong Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub melaksanakan Operasi Naga April lepas dengan kejayaan membanggakan.

Hasil kerjasama beberapa kementerian dan dengan adanya pindaan terhadap Akta Perikanan yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 Julai tahun lepas dengan kadar denda yang tinggi, usaha proaktif beliau telah menghasilkan RM560 juta penjimatan hasil laut daripada nilai pendaratan ikan dan hasil lelongan rampasan bot.

Satu pencapaian besar bagi Salahuddin yang menerajui kementerian itu selepas pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata menerusi operasi itu, 211 buah vesel ditahan manakala lima buah bot dilupuskan (ditenggelamkan untuk dijadikan tukun bagi pembiakan ikan), sekali gus menyelamatkan negara daripada kehilangan kira-kira RM6 bilion hasil ikan tidak didaratkan di negara ini.

Katanya, usaha berkenaan turut menyelamatkan ekosistem laut daripada terus dirosakkan oleh kegiatan nelayan asing yang rakus itu.

“Seluruh aset digunakan untuk mengawal perairan negara daripada diceroboh. Ini isu besar apabila saya masuk kementerian ini pada 2018. Nelayan mengadu macam-macam, pencerobohan vesel asing ini bermaharajalela menggunakan pukat yang diharamkan.

“Peralatan seperti bubu naga, pukat harimau, pukat tarik yang ganas ini semuanya dapat kita atasi dengan melaksanakan Ops Naga ini. Mereka bukan sahaja mengaut sumber laut malah merosakkan ekosistem,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini.

Salahuddin berkata Ops Naga, operasi bersepadu bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Luar, akan diteruskan tahun ini.

Beliau berkata daripada 211 buah vesel yang ditahan, 148 daripadanya dikesan di kawasan perairan Semenanjung, 41 di Sarawak dan 22 di Sabah.

Operasi itu memberi kesan positif dengan adanya pindaan terhadap Akta Perikanan 1985 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 Julai lepas antara lain membolehkan denda maksimum dinaikkan bagi pemilik atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia iaitu daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi setiap anggota kru turut dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Salahuddin berkata akta itu turut membolehkan kementerian mengeluarkan lesen untuk penangkapan ikan di laut lepas, industri baharu yang sedang diteroka bagi penangkapan ikan tuna di Lautan Hindi.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata ikan tuna boleh memberikan sumbangan penangkapan hasil sebanyak 30,000 metrik tan dan kementerian menyasarkan nilai unjuran kira-kira RM300 juta setahun pada masa ini.

“Setakat ini, kita telah melesenkan kira-kira 19 permit yang telah memenuhi syarat-syarat yang diperlukan dan kita menyasarkan kira-kira 200 lesen dalam masa dua hingga tiga tahun.

“Ini bukan laut dalam lagi tapi laut lepas, bermakna peserta baru boleh pergi Lautan Hindi. Mereka boleh menangkap ikan tuna dan diwajibkan mendaratkan tangkapan ini di beberapa tempat seperti di Langkawi, Pulau Pinang dan Tanjung Pelepas di Johor,” ujarnya.

Jelasnya, kriteria bagi memperoleh lesen itu termasuk mempunyai vesel dan peralatan yang moden dan menepati Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta mempunyai modal.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata pihaknya menyasarkan antara 15 dan 20 pasar nelayan baharu dibuka pada tahun hadapan dalam usaha melepaskan golongan nelayan daripada cengkaman orang tengah.

Jelasnya, inisiatif itu bagi mengurangkan lapisan pemasaran sekali gus membolehkan hasil laut dijual terus kepada pengguna.

“Setakat ini, kita ada 129 pasar nelayan di seluruh negara melibatkan 558 usahawan… dan kalau dapat tambah antara 15-20 pasar nelayan tahun ini juga boleh dianggap satu pencapaian,” ujarnya.

Beliau berkata dalam usaha mengurangkan penglibatan orang tengah, NekmatBiz.com diperkenalkan sebagai platform penjualan ikan dan produk berasaskan ikan secara dalam talian, selain membangunkan Agromall di Puchong, dekat sini, sebagai satu kompleks pemasaran produk hasil pertanian yang dijangka siap pada akhir tahun ini. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button