JenayahNasionalPendidikan

Kejadian buli di MCKK, bila nak dinoktahkan?

SAMPAI bilakah kes buli di dalam negara kita akan dinoktahkan? Dari sekolah rendah sehingga ke peringkat sekolah menengah dan di institusi-institusi pengajian tinggi, kes buli dalam kalangan pelajar tidak pernah reda.

Pelajar yang menjadi mangsa buli, ada yang meninggal dunia dan ada juga yang mengalami kecacatan kekal seumur hidup.

Mengapakah kes buli ini masih berleluasa sedangkan perkara ini harus ditangani bukan sahaja pihak sekolah tetapi ibu bapa di rumah dalam mendidik anak-anak agar jangan jadi pembuli.

Yang kuat menindas yang lemah, yang besar memukul, menolak, membentes yang kecil tubuhnya. Ini bukan didikan yang diterapkan oleh kita dalam diri anak-anak.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) meluahkan kekesalan terhadap tindakan menularkan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah itu, baru-baru ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebook (FB), persatuan itu berkata, tindakan menularkan kes itu di media sosial memberi impak besar serta membawa imej buruk kepada institusi sekolah itu secara keseluruhan.

“Kami mengambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4 sekiranya keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah ke atas murid yang terbabit tidak diubah.

“PIBG MCKK menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa terbabit di dalam pengurusan sekolah ini.

“Dalam hal yang berkaitan, PIBG menghormati pendirian pihak sekolah dan Tuan Pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4,” kata kenyataan itu, semalam.

PIBG MCKK dalam kenyataan itu juga memaklumkan ada menerima laporan mengenai pelajar MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan sekitar bandar ini dan dianggap sebagai pembuli.

“PIBG memandang serius perkara ini dan memikirkan risiko kemungkinan diserang dan diganggu oleh pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan 5 sebuah sekolah berasrama penuh dengan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam situasi yang membabitkan MCKK, bukan sekadar nak jaga nama baik sekolah tetapi yang penting, isu membuli itu sepatutnya menjadi perhatian utama pihak PIBG.

Jaga nama baik, kalau tidak kena atas batang hidung sendiri, boleh sahaja bercakap menjaga nama baik pihak sekolah.

Andai kata kena atas batang hidung sendiri, anak sendiri menjadi mangsa buli, apakah jawapannya?

Kerjasama dan permuafakatan di antara pihak PIBG, sekolah, ibu bapa terutamanya anak yang menjadi mangsa buli, perlu duduk semeja dan mencari solusi terbaik supaya kes buli ini dinoktahkan. – SM

(Visited 420 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button