Nasional

Fasa pertama MRT3 dijangka dibuka pada 2028

KUALA LUMPUR: Fasa pertama Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) dijangka dibuka pada 2028, manakala keseluruhan projek itu dijangka siap menjelang 2030, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Kabinet pada 4 Mac telah meluluskan projek itu, yang meliputi perimeter bandaraya Kuala Lumpur dan bahagian Ampang Jaya, Selangor yang padat dengan penduduk.

“Berikutan kajian kebolehlaksanaan teknikal, cadangan jajaran menjangkau sepanjang 39km garisan di Kuala Lumpur dan baki 12km di Selangor.

“Jajaran itu akan disambungkan ke rangkaian rel sedia ada termasuk MRT1, MRT2, LRT (transit aliran ringan), monorel dan KTM Komuter untuk membentuk 10 stesen pertukaran baharu bagi sistem pengangkutan awam yang lebih lengkap, bersepadu dan cekap di Lembah Klang ,” katanya menjawab soalan Hannah Yeoh (Segambut-PH-DAP).

Wee berkata 80 peratus jajaran akan terdiri daripada trek bertingkat dan 20 peratus akan melalui terowong bawah tanah.

Beliau berkata tender projek MRT3 akan dibuka tahun ini melalui lima pakej utama yang merangkumi tempoh enam hingga lapan tahun.

Beliau berkata projek itu akan dibiayai melalui dana hibrid seperti bon, jaminan kerajaan dan pembayaran tertunda.

“Projek MRT di Lembah Klang adalah antara projek awam berskala besar kerajaan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan rel agar lebih cekap, berkesan dan selamat, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Pembinaan projek MRT3 dijangka melengkapkan rangkaian rel metro di Lembah Klang.”

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai-PH-PKR), Wee berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula struktur pengangkutan sedia ada apabila MRT3 siap.

“Pelaksanaan bayaran kesesakan kenderaan misalnya, bukan sahaja membantu menangani isu kesesakan lalu lintas, malah mengurangkan kesan alam sekitar di bandar.

“London telah pun mengurangkan kesesakan seperti itu, dengan kelonggaran pada kenderaan elektrik. Selepas 2030, kami akan mengkaji semula struktur bayaran letak kereta di bandar itu.”

 

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button