Nasional

Anwar Ibrahim angkat sumpah Perdana Menteri ke-10

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada pukul 5.00 petang.

Selepas itu, Ahli Parlimen Tambun itu melafazkan sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar Ibrahim menandatangani beberapa dokumen-dokumen selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kemudiannya menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Anwar yang mengenakan baju Melayu berwarna hitam turut diiringi isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Perlantikan Anwar itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Antara yang berangkat pada perbincangan khas itu ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan
Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Ia selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin melalui satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut, pada sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu bahawa proses pelantikan Perdana Menteri baharu adalah susulan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

“Perbincangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka mendapat pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

“Proses di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka membuat keputusan melantik seorang Ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan”. – SM

(Visited 350 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button