Nasional

Perjanjian pelarasan pinjaman bersifat adil kepada peneroka, Felda

Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka berkaitan pelupusan sebahagian pinjaman adalah bersifat adil kepada peneroka dan Felda.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam satu notis pengumuman penting di Facebook Felda.

Menurutnya, penghapusan tersebut berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda.

“Peneroka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat menghantar hasil sepenuhnya kepada Felda dan membayar ansuran bulanan pinjaman sepenuhnya setiap bulan.

“Melaksanakan pengurusan kebun mengikut kaedah, piawaian, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik yang ditetapkan oleh Felda,” kata notis pengumuman.

Menurut Felda, objektif utama inisiatif Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka yang diumum sempena Hari Peneroka Felda 2021 adalah bagi menerapkan kebersamaan Felda dan peneroka melalui satu sistem pengurusan ladang yang lestari.

Inisiatif tersebut secara langsung akan memberi manfaat kepada warga peneroka terutama dari segi pendapatan.

Sebelum ini ada pihak yang menularkan surat perjanjian tersebut di media sosial sehimhha
menimbulkan beberapa kekeliruan serta pertikaian sesetengah pihak.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.

Dengan inisiatif tersebut, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda 2021 secara maya pada Rabu.

Pelupusan bersyarat itu merangkumi empat perkara:

i) Pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8.0 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka (iaitu meliputi 82% dari keseluruhan 112,638 warga peneroka);

ii) Pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, melibatkan 52,180 peneroka (iaitu meliputi 46% warga peneroka);

iii) Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021, bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka (iaitu meliputi 34% warga peneroka); dan

iv) Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka (iaitu kira-kira 6% warga peneroka).-SM

 

(Visited 539 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button