Nasional

Kementerian Kerja Raya sambut baik saranan Perdana Menteri

KEMENTERIAN Kerja Raya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengarahkan projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dapat memberikan pelepasan kepada pelanggan kementerian bagi melaksanakan sendiri projek infrastruktur kecil seperti membaiki kerosakan kecil sekolah, klinik, parit kecil dan pembaikan pagar yang tidak melibatkan aspek teknikal yang kompleks serta aspek keselamatan pembinaan.

“Ini sejajar dengan arahan di dalam Arahan Perbendaharaan 182 di mana Kementerian/Jabatan/ Agensi (KJA) boleh melaksanakan sendiri kerja-kerja penyenggaraan membaiki kerosakan kecil yang tidak melibatkan struktur bangunan atau kerja elektrik yang bernilai tidak melebihi RM200,000 dengan mematuhi semua
peraturan yang berkuatkuasa.

“Pelaksanaan projek-projek ini juga mengambil kira keupayaan KJA.

“Keprihatinan YAB Perdana Menteri itu juga dilihat dapat mengurangkan beban JKR sekaligus memberi ruang kepada jabatan ini untuk memberi fokus yang lebih kepada pelaksanaan projek infrastruktur yang lebih kompleks seperti pembinaan bangunan hospital, sekolah, jambatan-jambatan besar, pelabuhan, lebuhraya dan sebagainya.

“Kementerian ingin menzahirkan ribuan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan berharap agar projek-projek yang diberikan pelepasan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut amalan terbaik kejuruteraan dan peraturan-peraturan semasa yang berkuat kuasa demi kepentingan rakyat Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan. – SM

(Visited 68 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button