Ekonomi

Kembangkan perniagaan francais menerusi Geran Penuh dan Geran Padanan – KPDNHEP

Usahawan yang terdiri daripada golongan B40 dan M40 boleh mengembangkan perniagaan francais menerusi Geran Penuh dan Geran Padanan yang disediakan Kerajaan.

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melihat ia satu usaha yang strategik dalam meningkatkan ekonomi rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof berpendapat, penglibatan Persatuan Francais Malaysia (MFA) sesuatu yang cukup tepat.

“Kerajaan komited dalam memberi Geran Penuh dan Geran Padanan untuk menambahkan bilangan penggiat francais daripada golongan B40 dan M40 sama ada berskala mikro atau mampu milik.

“Geran Padanan misalnya bertujuan mengurangkan kos permulaan perniagaan francais yang perlu ditanggung bakal francaisi B40 dan M40 dengan kadar pembiayaan yang ditawarkan adalah sebanyak 90 peratus,” katanya.

Azman berkata demikian ketika berucap dalam Program Pembangunan Francais Mikro Dan Mampu Milik (F3M) yang dianjurkan di Hotel Marriot, Putrajaya.

Siri jelajah F3M menyaksikan penglibatan 1,000 peserta di 12 lokasi dengan hasrat memberikan pendedahan peluang perniagaan serta inisiatif KPDNHEP dan MFA kepada orang ramai.

Menerusi F3M, orang ramai berpeluang menyertai business pitching dan pemadanan perniagaan, sesi konsultasi, sesi ceramah, pameran syarikat francais serta mengetahui kaedah bantuan kewangan yang disediakan.

Selain itu, KPDNHEP turut menyampaikan Geran Penuh Program F3M kepada 11 francaisor dan bakal francaisor yang telah dinilai termasuk memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian dan MFA.

Inisiatif Geran Penuh juga merupakan inisiatif di bawah Program F3M yang mensasarkan pihak francaisor untuk membangunkan pakej permulaan perniagaan francais mampu milik bernilai RM100 ribu ke bawah serta pakej permulaan perniagaan francais mikro bernilai RM50 ribu ke bawah. – SM

(Visited 360 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button