Nasional

Kedah perjelas isu pembelian kereta baharu

Pejabat Menteri Besar Kedah menjelaskan pembelian kereta baharu untuk kegunaan jabatan diluluskan oleh pentadbiran terdahulu.

Pembelian kereta-kereta jenis Honda Accord model 1.5 TC (12 unit) dan jenis Toyota Hilux model D/CAB 2.4E AT (11 unit) adalah untuk kegunaan jabatan-jabatan Kerajaan Negeri, bukan untuk kegunaan YAB Menteri Besar atau anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) sebagaimana didakwa oleh pihak berkenaan.

“Keputusan meluluskan pembelian kenderaan berkenaan dibuat di bawah Bajet 2020 oleh Kerajaan Negeri bawah kepimpinan Menteri Besar yang terdahulu, YB Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir,” kata kenyataan itu.

Sebab-sebab pembelian dan tujuan kegunaan Honda Accord model 1.5 TC adalah seperti berikut:

a) Dua (2) buah kereta rasmi telah dibeli oleh penjawat terdahulu (Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah dan Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah) yang telah berpencen berdasarkan kelayakan mereka untuk membeli dan mengguna pakai kenderaan yang mereka pernah gunakan sepanjang mereka memegang jawatan.

b) Lima (5) buah kenderaan dibeli untuk kegunaan rasmi Pegawai-Pegawai Daerah (Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu dan Pokok Sena) bagi menggantikan kereta Proton Perdana yang dibeli pada tahun 2004 yang telah mencapai tahap usia perlu dilupuskan disebabkan kos penyelenggaraan yang tinggi.

c) Empat (4) kenderaan dibeli untuk kegunaan Pengarah/ Ketua Jabatan (Perkhidmatan Veterinar Negeri, Pertanian Negeri, Perhutanan Negeri dan Kebajikan Masyarakat Negeri) disebabkan kenderaan sedia ada telah mencapai tahap usia lebih 10 tahun yang tidak lagi ekonomik untuk terus digunakan terutama untuk perjalanan jarak jauh serta kos penyelenggaraan yang tinggi dan membebankan dari segi kewangan.

d) Satu (1) kenderaan dibeli untuk kegunaan rasmi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

Sebab-sebab pembelian dan kegunaan kenderaan Toyota Hilux cab 2.4E AT adalah seperti berikut:

a) Tiga (3) untuk Pejabat Daerah Kota Setar, Baling dan Sik bagi kegunaan menguruskan bantuan bencana dan pelaksanaan projek jalan kampung.

b) Satu (1) untuk Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (Bahagian Pengurusan Halal) atas sebab kenderaan sedia ada rosak dan pegawai terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk urusan pemeriksaan premis pusat sembelihan.

c) Tujuh (7) untuk Pejabat Pertanian Daerah Sik, Pejabat Pertanian Daerah Yan, Pejabat Pertanian Daerah Langkawi, Pejabat veterinar Daerah Baling, Pejabat Veterinar Daerah Kulim, Pejabat Veterinar Daerah Bandar Baharu dan Pejabat Veterinar Daerah Langkawi atas sebab tiada kenderaan jabatan di pejabat-pejabat yang berkenaan menyebabkan petugas-petugas terpaksa menggunakan kenderaan sendiri atau lori jabatan untuk turun ke lapangan.

Pembelian kenderaan-kenderaan ini mula diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri Kedah pada awal tahun ini namun proses pelaksanaan tertangguh akibat PKPB.

Pembelian secara berpusat yang dilaksanakan lebih menguntungkan Kerajaan Negeri kerana:

a) Harga lebih rendah berbanding pembelian sesebuah.

b) Pembekal memberi pakej selepas jualan yang lebih baik iaitu servis percuma selama lima (5) tahun.

c) Spesifikasi kenderaan yang sama mengikut kelayakan dan kategori jabatan serta memudahkan penyenggaraan.

Dengan penjelasan ini, pejabat menteri besar berharap supaya tidak ada lagi keraguan dalam kalangan rakyat negeri ini yang berpunca daripada sebaran tuduhan-tuduhan tidak berasas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

(Visited 481 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button