NasionalPolitik

Depani politik Mahathir dengan hikmah

Oleh DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN Naib Presiden UMNO

TUN Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa beberapa ahli parlimen BN telah berjumpa Azmin kerana mereka telah hilang kepercayaan kepada UMNO.

Begitulah Tun Mahathir dengan sandiwaranya yang tidak pernah berkesudahan.

Kenyataan beliau itu dibuat hanya untuk satu tujuan utama.

Iaitu untuk memporak-perandakan UMNO setelah BN berjaya menang di Tanjung Piai.

Menyedari bahawa beliau telah ditolak dengan jelas oleh pengundi Melayu dan Cina, Mahathir mesti mencari jalan untuk mengurangkan tekanan terhadap beliau untuk melakukan peralihan kuasa.

Oleh itu, beliau mesti mengalih tumpuan rakyat terhadap kegagalannya di Tanjung Piai.

Bagi beliau, menunaikan manifesto PH bukan keutamaan. Menimbulkan krisis dalam UMNO itu lebih strategik.

Kerana jika UMNO itu berkrisis, maka UMNO akan lemah. UMNO yang lemah akan menjadikan Muafakat Nasional dan Barisan Nasional itu juga lemah.

Jika ini berlaku, ia akan memenangkan PH dalam pilihanraya akan datang kerana beliau tahu, parti yang berkrisis akan mengambil masa yang lama untuk pulih.

UMNO tidak akan terpedaya dengan Tun Mahathir. UMNO telah punya banyak pengalaman dan waras dalam perkiraan masa depannya. UMNO akan mengambil jalan hikmah bagi mendepani Tun Mahathir.

Lihat sahaja bagaimana Azmin di perkudakan oleh Tun Mahathir untuk mewujudkan konflik dalaman dalam PKR.

Azmin diberikan perhatian oleh beliau bukan kerana beliau mahukan Azmin jadi penggantinya.

Semua orang tahu, Azmin mempunyai masalah dan hanya menunggu ketika sahaja untuk tersingkir.

Tetapi beliau menyedari bahawa Azmin mempunyai kekuatan tersendiri, maka sangat strategik untuk mempergunakan Azmin bagi mengawal kemaraan Anwar dan melemahkan PKR.

Bagi Tun Mahathir, melemahkan PKR itu adalah sangat penting. Ia adalah parti terbesar dalam Parlimen Malaysia dan ia mesti dikawal jika Bersatu ingin berkelansungan.

Justeru UMNO dan ahlinya mesti jangan terjerumus dalam permainan jijik Tun Mahathir. Beliau juga ingin melakukan strategi yang sama dengan UMNO.

Beliau menggunakan tokoh tertentu yang mempunyai pengaruh untuk mewujudkan krisis dalam UMNO.

Beliau menyedari bahawa UMNO gagal dilumpuhkan walau pelbagai cara telah dilakukan. Malah UMNO semakin menguat dan menjadi semakin ampuh.

Satu-satunya jalan untuk melemahkan UMNO, ialah dengan mewujudkan krisis dalaman.

UMNO yang berkrisis akan melemahkan UMNO dan wibawanya dalam kalangan orang Melayu.

Oleh yang demikian, kita tidak boleh sama sekali membenarkan dalaman UMNO itu bergolak. UMNO yang bergolak dan berkrisis akan memenangkan Tun Mahathir dan PH.

Kita hanya ada satu tugas sahaja semenjak UMNO tewas dalam PRU ke 14. Iaitu merawat, memulih dan membangunkan semula UMNO.

Urusan mengekalkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri bukan urusan Ahli Parlimen UMNO. Itu urusan Bersatu.

Urusan menjemput tokoh PH menyertai UMNO, juga bukan juga urusan Ahli Parlimen UMNO.

Tugas terpenting Ahli Parlimen UMNO ialah menjadikan UMNO pembangkang yang berwibawa di Parlimen Malaysia.

Hanya dengan menjadi pemain semak dan imbang yang berkesan, UMNO dapat meyakinkan rakyat bahawa ia adalah pergerakan politik yang progresif.

Dalam politik, kedudukan kita tidak boleh sama sekali dipergunakan untuk kepentingan lain selain kepentingan parti, orang Melayu serta rakyat Malaysia.

Kerana itu, kita mesti mengali samudera hikmah dalam perjuangan kita. Agar apa jua langkah dan perkiraan politik kita, mesti bersandarkan hikmah dan pandangan jauh jua. Tanpa hikmah, tidak akan ada perjuangan sebenar.

Semoga kita terus yakin dan benar dalam perjuangan politik kita dan bertindak dengan penuh hikmah.

-SUARA MERDEKA

(Visited 99 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button