Nasional

Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-17, 24 Jun ini

KEMUNCAK sambutan sempena Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-17 bertema “PJ Love U”, penyanyi Firman dan Nabila Maharani dari Indonesia bersama-sama dengan Neeta Manis, Mr 5k dan Aliff Aziz bakal mengadakan persembahan istimewa pada 24 Jun ini.

Persembahan mereka akan diadakan di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di hadapan Ibu Pejabat MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, bermula pukul 8 malam.

Datuk Bandar, Mohamad Azhan Md Amir berkata, keraian itu akan disempurnakan dengan acara kemuncak Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-17.

“Sambutan tahun ini meliputi  pelbagai program berbentuk jualan dan pameran, pertandingan dan kejohanan, sumbangan dan perkhidmatan percuma yang dirangka Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tahun ini merupakan tahun yang ke-17 Petaling Jaya menjadi sebuah bandar raya dan ‘PJ Love U’ diangkat sebagai tema dengan mengambil kira Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya yang inklusif.

Oleh itu, katanya, pelaksanaan 21 program sepanjang Jun ini dan aktiviti yang diatur juga melibatkan penyertaan dan memberi manfaat kepada semua peringkat komuniti.

“Kemuncak sambutannya ialah pada 24 Jun ini iaitu acara perasmian yang akan diserikan dengan persembahan istimewa oleh Firman dan Nabila Maharani dari Indonesia, Neeta Manis, Mr 5k dan Aliff Aziz,” katanya.

Beliau berkata, keraian tahun ini turut menyaksikan Laman MBPJ, di Lorong Tengah dan sekeliling Menara MBPJ, Dataran Boulevard dan sebahagian Jalan Yong Shook Lin, Jalan Selangor dan Jalan Sultan bermandi cahaya oleh lampu-lampu hiasan pada sebelah malam.

Sebagai Datuk Bandar yang ke-enam, Mohamad Azhan berkata, buat julung kalinya juga pada malam perasmian nanti akan diadakan pertandingan bagi acara perarakan membabitkan kategori Agensi/ Badan Kerajaan, Badan Korporat, Majlis Perwakilan Penduduk/ Persatuan dan Pusat Pengajian Tinggi (Universiti/ Kolej).

Jelas beliau, pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,500 selain sijil dan hadiah iringan.

Untuk rekod, katanya, Majlis pada awalnya menyasarkan16 pasukan yang bakal menyertai pertandingan tersebut.

“Tetapi pihak Majlis tidak menduga ia telah menarik penyertaan 18 pasukan, setakat ini.

“Suka saya memaklumkan, perarakan tahun ini juga akan turut disertai Sahabat Radio Suria FM dan Sahabat Motorsikal MBPJ,” ujar beliau.

Pemenang Keseluruhan Terbaik bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000 manakala pemenang tempat pertama diperuntukkan RM1,500, diikuti kedua dengan RM1,000 dan ketiga, RM500, katanya.

“Sebanyak RM500 juga menanti Pemenang Kostum Terbaik,” tambah beliau.

Dari sudut pelaksanaan program, menurut Datuk Bandar, lokasinya bertumpu di Taman Bandaran Kelana Jaya, The Spine, Dewan D’Kelana selain daripada lokasi utama di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan Pusat Bandar Seksyen 52.

“Pemilihan lokasi ini selaras dengan hasrat Majlis menghidupkan persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosi Bandar Raya Petaling Jaya sebagai Kota Seni,” jelasnya.

Beliau berkata, pada 25 Jun, acara PJ Smart Ride diadakan dengan penyertaan artis popular, Baggio Damasutra.

Baggio bakal memberi cabaran dalam pertandingan kayuhan berbasikal sejauh 45km yang menawarkan pendaftaran percuma.

“Manakala pada sebelah malamnya pula, MBPJ menjemput umat Islam khususnya warga Petaling Jaya menghadiri Majlis PJ Berselawat di Laman MBPJ.

“Majlis akan turut dihadiri agamawan seperti Habib Nael Ben Taher, Ustaz Basyir Azhari, Ustaz Fitri Abdullah dan Ustaz Adlu Kan Yong Sheng,” katanya.

Menjelang minggu perasmian, beberapa program seperti Larian Bandaraya PJ (10KM) dan Pertandingan Push Bike juga dijangka menarik perhatian orang ramai.

Program amal seperti Sumbangan PJ Prihatin kepada golongan miskin tegar iaitu Program Pembasmian Kemiskinan Bandar & PJ City Food Bank juga diadakan.

“Sebagai simbolik hari pengisytiharaan rasmi Petaling Jaya sebagai bandar raya, pada 20 Jun ini, MBPJ memberi tawaran percuma bagi penggunaan tempat letak kereta, kolam renang, gelanggang badminton dan tenis, selain 300 pendaftaran perpustakaan dan pemberian 1,000 anak pokok,” jelas beliau.

Datuk Bandar Mohamad Azhan mahu Petaling Jaya menjadi bandar raya terkemuka di Selangor dan turut dikenali di luar negara.

Impian Datuk Bandar Mohamad Azhan mahu Petaling Jaya menjadi bandar raya terkemuka di Selangor dan turut dikenali di luar negara.

“Selain mengimpikan Petaling Jaya dikenali sebagai Kota Seni yang penuh dengan aktiviti kebudayaan dan pelancongan, saya berharap MBPJ menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Petaling Jaya dan menjadi contoh atau model kepada agensi kerajaan, mahu pun swasta.

“Kenalilah Petaling Jaya ini sebagai satu bandar raya yang maju dan sejahtera, selaras pelan strategik PJSSR 2023, ‘PJ Smart, Sustainable and Resilience 2030,” katanya.

Kehadiran pengunjung dalam dan luar negara, selain penduduk dan komuniti Petaling Jaya amat dialu-alukan, kata Datuk Bandar. – SM

 

(Visited 488 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button