Politik

Tun Faisal masih tunggu jawapan Zahid untuk bersumpah esok

BEKAS Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz masih menunggu jawapan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung pelawaan untuk bersumpah membersihkan nama masing-masing di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) esok.

Tun Faisal berkata, beliau telah menghantar mesej kepada Ahmad Zahid mengingatkan pelawaan yang telah dibuatnya sejak tiga hari lalu.

Beliau turut menghantar teks berhubung permintaan itu kepada Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan semalam.

“Untuk makluman Yang Berbahagia Datuk, saya serius apabila membuat pelawaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO Malaysia untuk bersumpah atas nama Allah bersama-sama dengan saya pada hari Jumaat, 16hb April di Surau Ar-Rahman, PWTC selepas solat Jumaat.

“Draf lafaz sumpah pun telah saya sediakan bersama-sama dengan teks jemputan saya sebelum ini,” kata Tun Faisal.

Pada Isnin lalu Tun Faisal meminta Ahmad Zahid melafazkan sumpah laknat bagi membersihkan nama baik daripada isu rakaman audio yang tersebar di media sosial.

Menurutnya, lafaz sumpah berkenaan perlu dilakukan bersamanya kerana dia juga dituduh terlibat dalam merakam atau mencipta audio perbualan Ahmad Zahid dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini adalah cadangan lafaz sumpah yang boleh YB Datuk Seri dan saya lafazkan:-

“Saya (akan dibaca oleh saya), bersumpah atas nama Allah, WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI bahawa saya tidak terlibat merakam perbualan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mencipta audio tersebut. Saya juga tidak terlibat menyebarkan audio tersebut melainkan hanya beberapa kumpulan Whatsapp dan individu bagi membuktikan saya benar dalam hal kerjasama Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya juga bersumpah WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI bahawa surat sokongan Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim juga benar dan wujud.”

“Saya (akan dibaca oleh YB Datuk Seri) bersumpah atas nama Allah, WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI bahawa suara di dalam audio perbualan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan suara saya dan adalah rekaan semata-mata. Saya tidak pernah berbual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang terkandung dalam audio tersebut. Saya juga bersumpah, WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI, bahawa saya tidak menandatangani dan tidak terlibat memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menyebabkan surat sokongan tersebut terhasil,” katanya.

Tun Faisal amat berharap supaya Ahmad Zahid menerima pelawaan tersebut agar dapat membersihkan nama masing-masing. Inisiatif bersumpah atas nama Allah jugda diharap dapat menghentikan perbuatan saling menuduh dan menjadikan UMNO kembali kuat dan bersatu.-SM

 

 

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button