Nasional

Kandungan filem Mentega Terbang bertentangan akidah – JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah untuk meneliti secara keseluruhan kandungan filem kontroversi bertajuk “Mentega Terbang” yang telah disiarkan di aplikasi Viu baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, hasil penelitian tersebut mendapati adanya pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

“Saya telah menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat awam yang menyatakan kegusaran berhubung penayangan filem Mentega Terbang yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.

“Saya amat memahami akan sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam berhubung isu filem tersebut.

“Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti secara keseluruhan kandungan filem tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil penelitian JAKIM mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Pihak JAKIM juga telah diminta untuk mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.

Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk memanggil pihak-pihak yang terbabit dengan penerbitan filem ini untuk urusan selanjutnya.

“Ingin ditegaskan, bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam lebih-lebih lagi yang boleh mengundang kontroversi dan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada penggiat seni kreatif agar lebih berhati-hati dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat agar matlamat Kerajaan menuju Negara Madani akan tercapai,” katanya.

Masyarakat awam juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih rancangan TV untuk tontonan seisi keluarga samada di platform dalam talian mahupun mana-mana saluran agar tidak terdedah kepada unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah Islamiah.

(Visited 493 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button