Nasional

Lapan keluarga mangsa ribut terima bantuan MAIPs

Lapan buah keluarga mangsa ribut yang melanda kawasan Simpang Empat Perlis kira-kira jam 2.30 petang pada 8 November 2021 baru-baru ini bersyukur kehadrat Allah SWT kerana menerima agihan bantuan bencana daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) semalam.

Keterujaan mereka bertambah lagi apabila menerima sendiri daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs bernilai penuh sebanyak RM23,250 yang berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan tersebut di perkarangan salah sebuah rumah milik mangsa iaitu Zaini Abu Samah.

Jumlah sumbangan untuk lapan rumah berkenaan dinilai berdasarkan lawatan dan semakan dari pihak MAIPs yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Hj Mohd Nazim Mohd Noor. Terdapat kira-kira 20 buah rumah lain lagi yang turut terkesan dengan ribut pada kali ini dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan permohonan dan keperluan mangsa yang terlibat.

Sementara itu, seorang penerima, Ruslan Kamis yang juga merupakan bekas pemain bolasepak negeri berkata beliau terharu menerima keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang jelas menunjukkan keprihatinan baginda yang amat berjiwa rakyat.

Dalam pada itu, Tuanku Raja Muda menasihatkan masyarakat jika ada berlaku ribut di kawasan masing-masing supaya berhati-hati dengan benda-benda yang diterbangkan. Berlindunglah di dalam rumah dan tutup semua pintu serta tingkap.


(Visited 47 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button