Politik

Kalau parti tak pilih, ada parti lain, boleh juga bertanding

Jangan mengamuk, tak perlu marah-marah

PARTI tak pilih bukan muka tak malu, pipi tersorong-sorong. Itulah yang boleh dikiaskan apabila nama firura politik tidak dipilih untuk duduk dalam senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, kalau parti tidak pilih, kita boleh juga bertanding.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen di situ pasrah dengan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukan beliau sama ada dicalonkan atau tidak.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia merupakan figura politik tanah air yang berpengalaman.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan setakat ini masih belum menerima sebarang surat atau jemputan berhubung majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan malam ini.


“Parti memiliki sistem tersendiri dalam memilih calon. Justeru semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi.

“Serahkan sahaja kepada parti khususnya pucuk pimpinan untuk menentukan dan memilih siapakah yang parti fikirkan patut menerima watikah calon dan mewakili parti,” katanya.

Beliau berpendapat, soal calon bukanlah perkara yang harus diminta-minta atau lobi melobi.

“Kalau kita difikirkan oleh pucuk pimpinan atas apa juga asas pertimbangan maka itu kita hanya alat untuk parti memberi watikah dengan logo parti kita masuk bertanding.

“Kalau parti tidak pilih, itu bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya tetapi itu juga tidak menyekat kita mahu bertanding.

“Kita boleh juga bertanding, beli borang, bayar deposit. Semua orang boleh bertanding,” ujar beliau.

Dari sudut sebagai ahli parti, Annuar berpendirian, dirinya tidak akan melobi atau meminta-minta ataupun merayu-rayu.

Tegas beliau, “kita serahkan bulat-bulat kepada parti dan saya difahamkan, malam ini akan ada surat jemputan pengumuman.

“Jadi saya fikir, ahli-ahli terima sahajalah apa yang parti putuskan.”

Annuar yang juga Pengerusi Jihad Tangani Inflasi dalam sidang media di Kota Bharu, Kelantan, mengesahkan tawaran sebagai calon kerusi Parlimen Ketereh yang disandangnya, diberikan kepada Ketua Puteri UMNO.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ketua Puteri UMNO, Marzuani Ardila dipanggil dan ditawarkan cuma sama ada tawaran itu diterima atau tidak, Annuar tidak dapat memastikannya kerana mereka masih lagi berunding.

Kata Annuar, Ketua Puteri itu ada merujuk kepada beliau mengenai tawaran tersebut.

“Saya katakan padanya, dalam politik ini, tanyalah hati sendiri. Yang penting, apabila bertanding biarlah menang.

“Kalau kita rasa menang, kita boleh sumbang satu kerusi kepada parti kita dan itu adalah perkara yang sebaik-baiknya,” ujar beliau.

Annuar juga berkata, jangan bertanding hanya untuk bertanding.

“Kalau rasa boleh menang, baguslah. Bertanding ini untuk menang kerana bayar deposit, berkempen, berhabis beratus ribu malahan berjuta untuk sesetengah orang,” jelasnya.

Terus terang Annuar berkata, setakat ini, sekiranya nama beliau tidak dipilih oleh parti untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh, Ketua UMNO Bahagian Ketereh ini memberitahu, beliau tidak mempunyai rancangan lain.

“Perkara ini kita fikir kemudian,” katanya.

Senario jika Annuar tidak dipilih, beliau tidak boleh mengamuk, tidak boleh marah-marah tetapi perjalanan politiknya perlu difikirkan dan dibetulkan supaya kena pada kedudukan.

‘Tengok kalau buat begini, jadi begini. Buat begitu, jadi begitu. Jadi pilihan itu banyak.

“Kalau dulu-dulu, keluar pembangkang masuk kerajaan. Keluar kerajaan, masuk pembangkang tetapi sekarang, kalau tak duduk dalam parti kerajaan, di luar sana ada lagi parti-parti lain yang jadi kerajaan juga.

“Senario politik kerajaan sudah berubah. PAS pun kerajaan, Bersatu pun  kerajaan. Semuanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Perdana Menteri yang sama.

“Ada pilihan. Orang kata, tepuk dada, tanya selera,” katanya.

Malam tadi di Kangar, Perlis, nama Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dipilih sebagai calon BN pada PRU15 ini.

Pemakluman itu dicoretkan melalui akaun Facebook milik Shahidan. – SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button