Politik

Datuk Jo sah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO

AHLI Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan akan datang selepas menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Ia sekali gus menjawab desas-desus beliau akan bertanding dalam saingan merebut jawatan itu.

Johari individu ketiga berbuat demikian selepas dua penyandang, Datuk Seri Khaled Nordin yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan akan mempertahankan jawatan mereka.

Kini, hanya tinggal seorang lagi penyandang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas Perdana Menteri masih belum menyatakan pendiriannya setakat ini.

Bagaimanapun ura-ura mengatakan, Ismail Sabri tidak akan bertanding mempertahankan jawatannya dalam parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Datuk Seri Shahrir Samad pula berkata, setakat Rabu, kelmarin, pihaknya menerima 158 borang pencalonan bagi merebut jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan, Naib Presiden, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dan semua jawatan dalam Wanita, Pemuda, dan Puteri.

Seramai 51 calon menghantar borang pencalonan bagi merebut 25 kerusi ahli MKT, dua calon Pengerusi Tetap dan enam calon Timbalan Pengerusi Tetap.

“Bagi Ketua Wanita sudah ada seorang calon, tiga calon Ketua Pemuda manakala enam calon lagi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Puteri.

“Seorang calon mendaftar bagi Naib Ketua Wanita, empat calon Naib Ketua Pemuda dan tiga calon bagi Puteri manakala 44 calon Exco Wanita, 52 calon Exco Pemuda dan 27 calon Exco Puteri,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Selain Johari, turut dikhabarkan mengintai jawatan Naib Presiden ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohamad; Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang juga Menteri Luar Negeri dan Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan Reformasi Institusi).

Mereka bagaimanapun masih belum menghantar borang pencalonan.

Sementara itu, Ketua Wanita Noraini Ahmad dilaporkan akan mempertahankan jawatannya daripada bekas ketua sayap itu, Shahrizat Abdul Jalil.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu menyerahkan borang pencalonannya pagi tadi.

Pencalonan bagi pemilihan UMNO bermula pada 13 Februari hingga 26 Februari. Pemilihan bagi jawatan Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 11 Mac. Pemilihan jawatankuasa bahagian dan MKT pula pada 18 Mac ini. – SM

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button