Nasional

Kadar inflasi mereda, KPDN komited mengekang kenaikan harga barang yang tidak terkawal

Semenjak Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan atau dalam istilah ekonomi “Inflasi” adalah pada kadar yang lebih rendah.

Inflasi pada tahun 2023 terus mereda di mana kadar inflasi pada Mei 2023 adalah 2.8% berbanding 3.3% (April 2023), 3.4% (Mac 2023) dan 3.7% (Februari dan Januari 2023).

Kadar inflasi yang dinyatakan ini adalah lebih rendah jika dibandingkan pada November 2022 sebelum Kerajaan Perpaduan memerintah di mana inflasi pada masa itu berada pada kadar 4.0%.

Inflasi pada Mei 2023 yang mereda pada kadar 2.8% disumbangkan antaranya oleh inflasi Kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol yang mereda kepada 5.9% (Mei 2023) berbanding 6.3% (April 2023).

Subkumpulan Makanan di Rumah mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah iaitu 4.3% (Mei 2023) berbanding 5.0% (April 2023); manakala Subkumpulan Makanan di Luar Rumah kekal pada kadar 8.1% bagi April dan Mei 2023.

Prestasi inflasi yang semakin baik ini adalah hasil usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan bagi mengekang kenaikan harga yang tidak terkawal terutamanya bagi barangan makanan dan barangan keperluan asas.

Dasar Kawalan Harga Bersubsidi & Tanpa Subsidi

Kerajaan Perpaduan meneruskan dasar mengawal harga sama ada dengan atau tanpa subsidi bagi barangan keperluan utama rakyat seperti minyak masak botol dan peket, gula putih bertapis kasar dan halus, ayam bulat, telur gred A, B dan C, beras putih tempatan, LPG, RON 95 dan diesel.

Dalam hubungan ini, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dilaksanakan oleh KPDN bagi memastikan bekalan adalah mencukupi, harga kawalan dipatuhi dan pada masa yang sama mengelakkan ketirisan. Sehingga Jun 2023, sebanyak 440,327 bilangan pemeriksaan telah dilaksanakan dan merekodkan 854 kes dan RM11.8
juta nilai sitaan/rampasan.

Inisiatif Payung RAHMAH

Inisiatif Payung RAHMAH yang dilaksanakan oleh KPDN terbukti berjaya menstabilkan inflasi pada kadar yang lebih rendah. Kedudukan inflasi dengan trend mereda bagi Subkumpulan Makanan di Luar Rumah turut disumbangkan oleh pengenalan Menu RAHMAH pada 31 Januari 2023 yang lalu.

Inflasi Subkumpulan Makanan di Luar Rumah berjaya diturunkan kepada kadar 8.1% (Mei 2023) berbanding 9.6% (November 2022). Setakat ini, terdapat sebanyak 2,922 bilangan operator pengusaha Menu RAHMAH di seluruh
negara dan 290 pengusaha Menu Sisw a RAHMAH (dahulunya dikenali sebagai Kafe RAHMAH) di Universiti Awam dan Politeknik.

Program Jualan RAHMAH yang menawarkan diskaun harga barangan makanan dan keperluan asas sehingga 30% sedang giat dilaksanakan oleh KPDN melibatkan 222 Kawasan Parlimen seluruh negara. Sehingga 30 Jun 2023, KPDN telah melaksanakan sebanyak 3,557 lokasi Jualan RAHMAH.

Penekanan diberikan kepada pelaksanaan Jualan RAHMAH secara bergerak/mobil dengan hashtag  KedaiCariRakyat bagi memastikan manfaat Jualan RAHMAH dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan rakyat
berpendapatan rendah.

Program Jualan RAHMAH KPDN turut disokong dengan Jualan Agro- Madani oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang membawa hasil pertanian terus dari ladang pada harga yang lebih murah.

Sehingga kini sebanyak 620 Jualan Agro-Madani telah dilaksanakan termasuklah di 52 premis-premis Kerajaan di seluruh negara.

Pemantauan Harga Runcit

KPDN memantau harga bagi 480 item di mana 186 item dipantau secara harian. Data harga runcit dikutip setiap hari di lebih 1,400 premis di seluruh negara merangkumi pasar basah, pasaraya, pasaraya besar, kedai runcit
dan pasar mini.

Pemantauan yang dilaksanakan menunjukkan harga kebanyakan item adalah stabil bagi tempoh 4 bulan terkini. Bagi 61 item barangan import yang dipantau; sebanyak 50 item ( 82%) berada dalam harga yang stabil termasuk 28 item mengalami penurunan harga.

Antara item import yang menunjukkan penurunan harga adalah ayam belanda, daging kambing bebiri bertulang (Australia), daging lembu blade , daging kerbau block dan blade (India), lobak merah, bawang besar (Pakistan), bawang kecil merah (India dan Myanmar), ubi kentang russet.

Untuk pengetahuan, semua harga runcit yang dikutip ini dimuatkan dalam aplikasi mudah alih Price Catcher KPDN yang membolehkan pengguna membuat perbandingan harga. KPDN menyeru kepada pengguna untuk memuat turun dan mengguna aplikasi Price Catcher bagi membantu mereka membuat perancangan perbelanjaan lebih awal.

Peringatan Kepada Peniaga Dan Pengguna

KPDN ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar mengamalkan etika perniagaan yang sihat. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka boleh diambil tindakan di bawah pelbagai akta dan perundangan berkaitan terutamanya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Peniaga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati, menyorok barangan kawalan serta menaikkan harga dengan alasan kekurangan bekalan.

Pengguna dan semua pihak yang prihatin boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan peniaga kepada KPDN melalui pelbagai saluran seperti berikut:

I. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
II. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
III. Call Centre 1-800-886-800;
IV. E-mel ([email protected]);
V. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN, dan;
VI. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.

KPDN akan terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini.

YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB,
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP,
KUALA LUMPUR, 11 JULAI 2023.

SM

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button