Nasionalpilihan

Abdul Razak tawar diri tanding MKT

Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti yang dijalankan
serentak 18 Mac ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas muncul satu-satunya wakil dari Melaka yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Melaka berkata, hasratnya ingin bertanding jawatan MKT didorong untuk membantu parti dalam memastikan UMNO terus relevan.

Jelasnya, selain jawatan MKT, beliau juga akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang disandangnya sebelum ini.

“Dengan penuh keinsafan dan berbekalkan pengalaman bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Exco Pemuda UMNO Malaysia dan Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan MKT UMNO pada pemilihan parti penggal ini.

“Di atas semangat ingin terus menyumbang kepada parti, saya percaya dengan pengalaman yang ada akan dapat membantu menyerlahkan lagi UMNO kepada masyarakat di negara ini sekali gus mahu
memperkukuhkan parti keramat ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Razak menegaskan beliau mahu bersama-sama pucuk pimpinan dalam memastikan parti ini terus dilihat relevan kepada semua golongan termasuk generasi masa depan.

Menurutnya, beliau akan menyerahkan borang pencalonan MKT dalam tempoh tarikh pendaftaran bagi calon-calon bertanding di peringkat bahagian dan pusat bermula pada 13 Februari sehingga 26
Februari ini.

Sebelum ini Melaka mempunyai tiga MKT iaitu dua dilantik atas kapisiti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga ADUN Tanjong Bidara dan Ketua Menteri yang juga ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Manakala ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar pula menang bertanding jawatan tersebut.

UMNO akan mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pemilihan itu akan melibatkan sebanyak 22,000 cawangan serta 191 bahagian UMNO di seluruh negara termasuk bahagian yang
digantung. – SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button