Nasional

Jumlah deposit TH melonjak kepada RM88 bilion

SEHINGGA Mei 2022, Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatat rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion.

Ia sekaligusmencerminkan keyakinan umat Islam yang semakin kuat terhadap institusi pengurusan haji negara.

BERNAMA melaporkan, jumlah deposit TH meningkat hampir 16% kepada RM88 bilion daripada RM75.92 bilion yang direkodkan pada 31 Disembar, 2020.

Menerusi Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24, TH menyasarkan jumlah deposit sebanyak RM100 bilion.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, peningkatan itu adalah sesuatu yang agak ketara apabila deposit bersih bulanan juga mencecah lebih RM1 bilion.


“Untuk rekod, TH telah mencatatkan deposit bersih sebanyak RM1.1 bilion bagi April 2022, antara deposit bersih bulanan tertinggi setakat ini, menggambarkan keyakinan orang Islam di Malaysia terhadap TH,” katanya.
TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.10% bagi 2021 yang memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya melibatkan jumlah agihan RM2.46 bilion.

Ini berbanding RM2.24 bilion yang diagih pada 2020, peningkatan sebanyak RM219 juta, katanya.

Beliau berkata, TH sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha menggalakkan seluruh umat Islam di negara ini agar mempunyai akaun TH.

Setakat ini, kira-kira 55% umat Islam di Malaysia masih belum mempunyai akaun TH, katanya.

“Jumlah pendeposit TH hari ini kira-kira 8.5 juta manakala jumlah orang Islam di Malaysia mengikut perangkaan 2020 adalah lebih kurang 18.9 juta. Kira-kira 45% rakyat Malaysia beragama Islam adalah pendeposit TH.

“TH ditubuhkan untuk membantu dan menguruskan umat Islam Malaysia mengerjakan haji yang merupakan antara tuntutan dalam rukun Islam.

“Maka, penting untuk semua orang Islam Malaysia membuka akaun serta mendaftar haji (mereka yang mampu). Kuota (giliran) haji pula ditentukan oleh pihak lain,” katanya.

Mohamed Ameen berkata deposit daripada simpanan akan dilaburkan untuk memperoleh keuntungan yang kemudiannya akan dizakatkan.

“Pada 2021, TH telah menyerahkan zakat berjumlah RM106 juta untuk golongan asnaf di seluruh negara.

“Sekiranya 55% orang Islam Malaysia yang belum mempunyai akaun TH ini membuka akaun, saiz deposit akan lebih berkembang dan lebih banyak keuntungan boleh dijanakan untuk membantu lebih ramai asnaf di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata TH juga telah menambah baik perkhidmatan selari dengan kehendak pengguna, dengan pembukaan akaun boleh dilakukan secara dalam talian malah pemohon hanya perlu hadir di mana-mana cawangan TH di seluruh negara untuk pengesahan biometrik sahaja.

TH kini telah automasikan semua perkhidmatan yang ditawarkan di cawangan, dalam bentuk digital atau dalam talian, katanya.

Beliau berkata justeru, semua perkhidmatan yang boleh dilakukan di cawangan TH sama ada transaksi kewangan mahupun haji kini boleh dilakukan secara dalam talian.

“Tahun ini, julung kalinya, TH mengeluarkan tawaran haji secara dalam talian melalui aplikasi THiJARI dan jemaah boleh menjawab tawaran tersebut melalui aplikasi yang sama, tanpa perlu hadir ke cawangan untuk menyerahkan borang penerimaan tawaran.

“Mereka hanya perlu datang ke cawangan untuk menyerahkan pasport dan buku rawatan,” katanya.

Beliau berkata TH berwawasan perkhidmatan di TH harus menjadi lebih baik atau sekurang-kurangnya setara dengan industri.

“Pendeposit-pendeposit kami terdiri daripada pelbagai segmen. Justeru, apabila kita mahu memperkenalkan satu platform digital, ia haruslah menyeluruh untuk pelbagai segmen,” katanya.

Platform digital THiJARI yang dilancarkan sejak Februari 2020 kini mencapai lebih 1.5 juta pengguna dan lebih 1.0 juta pengguna aplikasi telefon bimbit, katanya

“Setiap hari kami menerima hampir 90,000 transaksi dalam talian. Angka ini menggambarkan penerimaan pendeposit terhadap usaha yang telah kami laksanakan,” katanya.

Mohamed Ameen berkata sekiranya terdapat pendeposit yang kurang mahir dengan perkhidmatan dalam talian, mereka masih boleh menikmati semua perkhidmatan secara tradisional di kaunter cawangan-cawangan TH.

“Kami juga mempunyai satu lagi saluran di mana kami bekerjasama dengan rakan-rakan bank kami iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, CIMB dan yang terbaharu, AmBank,” katanya. – SM

 

(Visited 36 times, 2 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button