Berita

PALAPES perlu berusaha tarik lebih ramai anggota baharu

Islamabad, Pakistan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar pihak kepimpinan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Angkatan Tentera Malaysia di universiti-universiti awam supaya sentiasa berusaha untuk memperbaiki kaedah bagi menarik minat penuntut-penuntut universiti untuk menyertai PALAPES di insitusi masing-masing.

Lebih penting lagi adalah mereka perlu berusaha keras untuk menyuntik semangat kesetiaan kepada pegawai-pegawai PALAPES yang akan ditauliahkan universiti-universiti awam supaya terus kekal aktif di dalam Rejimen Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat sebagai anggota sukarela walaupun mempunyai karier pilihan masing-masing selepas bergraduasi kelak.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat melawat ‘Centre for International Peace and Stability’ di Pakistan National University of Sciences and Technology (NUST) di Islamabad, Pakistan petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda dan delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia’ itu disambut oleh Pro Rektor universiti berkenaan, Dr Asif Raza.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat diiringi sama oleh Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Mejar Ts Dr Mohd Hazizan Mohd Hashim dari Universiti Sains Malaysia.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohd Ibrahim dan Penasihat Pertahanan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Kolonel Abu Hashim Jamaludin.

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button