Jenayah

Polis Kedah buru suspek utama dalang perlombongan haram di Sik

POLIS Kedah menahan sembilan suspek termasuk empat warga Myanmar berhubung kegiatan pemerdagangan manusia dan perlombongan haram mineral nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam operasi khas pada 21 Jun lalu, tiga lelaki dan seorang wanita ditahan berkaitan kes berkenaan.

Beliau berkata keempat-empat suspek bertanggungjawab menyeludup warga asing sebagai pekerja dalam aktiviti perlombongan haram itu.

“Pada 25 Jun lalu, kita mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan dan empat warga Myanmar dalam satu serbuan di Baling.

“Pasukan serbuan telah merampas empat setengah guni mengandungi mineral nadir bumi disyaki syabu seberat kira-kira 99kg dan sejumlah peralatan yang disyaki digunakan untuk melombong mineral nadir bumi secara manual,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hari ini.

Fisol berkata susulan tangkapan itu, polis telah membuka siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Barangan yang dirampas disyaki mineral nadir bumi itu telah dihantar ke Makmal Geosains di Ipoh, Perak untuk analisa lanjut,” katanya.

Tambah Fisol, semalam empat daripada suspek yang ditahan dalam serbuan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Baling semalam dengan 18 pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 12, 14 dan 26B(a) Akta Atipsom serta Seksyen 55E Akta Imigresen.

Tambahnya, tiga lagi suspek dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah sebagai saksi pendakwaan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26B(a) Atipsom yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan.

Tambah Fisol, Mahkamah Sesyen Baling telah menolak ikat jamin bagi keempat-empat tertuduh dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan.

Fisol berkata, polis sedang mencari seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Wong Kah Wong, 46, dipercayai dalang di sebalik kegiatan penyeludupan warga asing dan perlombongan haram mineral nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Fisol berkata Wong juga disiasat kerana didakwa membuat laporan palsu pada 31 Mei lalu bahawa peralatannya untuk aktiviti penanaman hutan berlesen di Hutan Simpan Bukit Enggang telah dicuri.

“Berdasarkan siasatan kita semua peralatan yang didakwa dicuri itu sebenarnya telah dirampas oleh Jabatan Perhutanan negeri dalam beberapa siri operasi membanteras pencerobohan kawasan hutan simpan dan aktiviti perlombongan haram yang dijalankan pada Februari lalu,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Wong boleh menghubungi pegawai penyiasat, Penolong Pesuruhjaya Che Intan Subri di talian 013-9329614. -SM

Baca juga : Rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah India dijangka tiba di New Delhi

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button