HiburanNasionalpilihan

Jangan terlalu teruja untuk rentas negeri hingga lupa SOP Covid-19

BERBAKI 0.3 peratus lagi untuk mencapai angka 90 peratus jumlah penduduk dewasa divaksinasi, ramai yang menantikan janji kerajaan supaya dibenarkan untuk merentas negeri.

Malah, bukan sahaja orang ramai, golongan selebriti juga nampaknya begitu teruja untuk merentas negeri secara bebas selepas berapa lama disekat.

Petang ini juga, satu sidang media khas akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan antara pengumuman yang dinantikan adalah kebenaran untuk merentas negeri.

Penyanyi, Wany Hasrita memberitahu, dia juga menanti sekian lama kebenaran untuk merentas negeri dan berharap semua dapat menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin.

“Apa yang penting sebenarnya adalah disiplin diri kita dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika merentas negeri.


“Sebab itu saya berharap supaya sesiapa yang ingin merentas negeri dan pulang ke kampung supaya membuat ujian saringan Covid-19 di rumah dahulu.

“Sebab mahu atau tidak, dalam situasi sekarang kita memang terpaksa hidup bersama Covid-19 dan disebabkan itu, kita kena pastikan diri supaya sentiasa patuh pada SOP,” katanya.

Seorang lagi penyanyi, Naim Daniel pula menyatakan rasa berbelah bahagi antara gembira dan risau jika Perdana Menteri mengumumkan kebenaran untuk merentas negeri.

Menurut Naim, dia berharap supaya orang ramai tidak kelam kabut jika pengumuman mengenai kebenaran rentas negeri dibuat petang ini.

“Saya tahu, ramai yang tertekan kerana terpaksa berkurung dan tidak berpeluang untuk pulang ke kampung bagi bertemu ibu bapa.

“Sebab itu bila ada kebenaran diberikan, kita kena pastikan semua bersedia. Semua kena patuh SOP sebab kebenaran rentas negeri ini juga adalah peluang untuk kita meningkatkan semula ekonomi selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi, Khai Bahar juga menegaskan perkara yang sama supaya semua sentiasa patuh pada SOP.

“Kalau benar boleh rentas negeri, memang bersyukur sangat sebab semua menantikan saat ini.

“Tapi kita pun kenalah patuh pada SOP lagipun itu juga adalah demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan ibu bapa di kampung,” katanya.

Sama seperti Wany Hasrita, Khai Bahar juga berharap supaya sesiapa yang ingin pulang ke kampung supaya melakukan ujian saringan Covid-19 di rumah dahulu sebelum untuk memastikan keselamatan semua terjaga. -SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button