NasionalNegeriPendidikan

KPT-PENJANA: UniMAP terima dana hampir RM4 juta

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerima dana hampir RM4 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi pelaksanaan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, dana sebanyak RM818,400 diterima pada Disember tahun lalu bagi melaksanakan program PENJANA KPT-Career Advancement Program (CAP) manakala RM650,000 bagi program PENJANA KPT-Professional Certificate (PACE)
Fasa 3.

“Kita akan melaksanakan program latihan peningkatan kompetensi secara bersasar kepada graduan sebelum mereka memulakan pekerjaan yang ditawarkan oleh industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Penjana KPT-CAP ini diwujudkan bagi menangani isu graduan menganggur yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Zaliman berkata, sebelum ini UniMAP telah menerima dana sebanyak RM245,900 bagi melaksanakan empat program PENJANA KPT-CAP.


“Pada Fasa 1 program PENJANA KPT-PACE yang menjanjikan penempatan pekerjaan, UniMAP telah melaksanakan tiga program dengan peruntukan RM360,000,”katanya.

Tambahnya, bagi Fasa ke-2 pula, UniMAP menerima dana RM1,905,000 bagi melaksanakan 12 program pensijilan profesional.

“Antara program yang pernah dilaksanakan oleh UniMAP ialah IC Design Apprenticeship Program, Short Course On Solar PV System, Electronics Design Engineering Upskilling, Design With CATIA, Advantech IOT/SCADA Training Program, Kursus SOP Retort Dan Pensijilan MESTI, Certified Environmental Professional in Scheduled Waste Management (CePSWAM), Certified Traffic Management Officer (CTMO) – Level 4, Kursus Pemasangan Dan Pengujian Kabel Fiber Optik – FTTH dan 5G Installation and Testing,” katanya.

Beliau berkata, kesemua program di UniMAP diselaraskan oleh Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) di bawah seliaan Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Najmuddin Mohd. Hassan.

“Sebagai Naib Canselor salah sebuah universiti  berfokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), saya amat berterima kasih kepada KPT atas inisiatif yang memberi manfaat kepada graduan dan usaha ini pasti memberi keyakinan semula kepada masyarakat terutama pelajar dan ibu bapa untuk kembali memilih menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – SM

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button