Politik

Isu kerusi DUN Hulu Bernam sudah selesai

Pertikaian antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO berkaitan perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, di Selangor sudah diselesaikan.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, perkara tersebut sebenarnya sudah diselesaikan selepas dibawa kepada rundingan tertinggi Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, di peringkat parti itu perkara tersebut sebenarnya tidak ada lagi pertikaian.

“Setahu saya isu pembahagian kerusi di Selangor sudah diselesaikan cuma ada permintaan satu dua kerusi keseluruhan daripada perundingan kita.

“Secara dasarnya semua rundingan berhubung pembahagian kerusi sudah dimuktamadkan cuma beberapa kerusi masih belum diputuskan.

“Pembahagian kerusi ini akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Program Outreach & CSR Perkeso 2023 di Dewan Serbaguna Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd. Razak Omar.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Amanah Bahagian Hulu Selangor, Abdul Mun’im Roslin bahawa parti itu akan menggantikan Barisan Nasional (BN) bertanding di DUN Hulu Bernam.

Kenyataan tersebut menimbulkan rasa tidak puashati dalam kalangan pemimpin dan penyokong BN terutama UMNO Bahagian Hulu Selangor menjelang penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 Julai ini.

Mengulas lanjut Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, dalam perundingan semua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) tidak semua akan dapat memenuhi kehendak mereka.

Namun katanya, hasil perundingan yang dibuat telah dapat mencapai matlamat semua parti yang bertanding di enam negeri pada PRN bulan depan.

Mengulas kedudukan Amanah pula beliau berkata, setakat ini beberapa kerusi yang dimenangi oleh parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan terus ditandingi calon daripada parti itu.

“Kerusi yang kita menang macam di Selangor dan Negeri Sembilan kita ada tiga kerusi manakala empat kerusi di Kedah kekal dan akan digabungkan dengan kerusi baharu kita dapat keseluruhan,” ujarnya.

Beliau berkata, lebih daripada 30 kerusi akan ditandingi penyandang dan calon-calon baharu mewakili parti itu dalam memastikan kemenangan bagi PH bulan depan. -SM

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button