Politik

Kerjasama PH-BN kunci kemenangan DUN Simpang Jeram

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram yang baharu, Ir. Nazri Abdul Rahman menyifatkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu atas gabungan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kerjasama tersebut adalah satu punca PH berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Kemenangan selesa ini amat bermakna untuk melihat kerjasama antara PH dan BN terbukti berhasil.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jentera kedua-dua parti kerana tanpa kerjasama itu tidak mungkin PH boleh mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram.

“Kemenangan ini bukan untuk saya seorang tetapi juga dikhususkan buat semua penduduk di sini. Ini Kemenangan buat semua,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, malam tadi.

Nazri yang juga Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 10,330 undi.

Manakala calon Bebas yang juga ahli perniagaan, S. Jeganathan hanya memperoleh 311 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas, DUN Simpang Jeram dimenangi Datuk Seri Salahuddin Ayub daripada PH apabila memperoleh 8,749 undi menewaskan calon BN Datuk
Lokman Md. Don (6,062 undi), Zarul Salleh dari PN (6,350 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah pada pukul 9.12 malam tadi di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, Muar.

Mengulas lanjut Nazri, beliau merakamkan penghargaan kepada pengundi Simpang Jeram yang menaruh kepercayaan terhadapnya.

“Terima kasih kerana memilih saya sebagai wakil rakyat baharu dan insya-Allah saya akan menunaikan janji-janji sepanjang tempoh berkempen untuk membantu masyarakat di sini.

“Saya telah diberi mandat, jadi beberapa janji pilihan raya akan saya cuba penuhi dalam masa tempoh satu penggal secara keseluruhannya,” katanya. – SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button