Berita

Isu berita palsu masih topik utama HAWANA

ETIKA kewartawanan dan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyebaran berita palsu, adalah antara isu yang akan diketengahkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin berkata ini kerana antara cabaran utama dihadapi wartawan kini adalah penyebaran maklumat tidak sahih oleh pengguna media sosial yang tidak terlatih serta tidak terikat dengan etika kewartawanan.

“Tak dinafikan, bukan semua pengguna di media sosial ini dalam kalangan mereka yang terlatih (celik media)… (pempengaruh) media sosial yang wujud menganggap diri mereka juga sebagai wartawan tetapi sebenarnya mereka tidak, kerana wartawan dilatih khas.

“Oleh itu, tanpa ada pengesahan dan kesahihan (maklumat) daripada sumber-sumber tidak rasmi dan tidak sahih, kemudian disiarkan di platform masing-masing dan ini menimbulkan kebimbangan apabila tersebarnya berita palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual bagi program HAWANA 2023: Media Bebas Tunjang Demokrasi disiarkan Bernama Radio.

Sementara itu, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Malaysia Datuk Mokhtar Hussain berkata sambutan HAWANA memberi peluang kepada pengamal media di kedua-dua negara bertukar pandangan dan pengetahuan bagi menambah baik profesion kewartawanan.

Bekas ketua pegawai eksekutif Bernama itu berkata beberapa pemimpin media dari Indonesia juga dijemput dan akan mengambil bahagian sebagai ahli panel forum bagi berkongsi pengalaman mengenai penubuhan Dewan Pres atau Majlis Media di republik itu, di samping mengukuhkan hubungan.

“Indonesia juga merancang, memikirkan cara mendapat peruntukan dana daripada tech giants (syarikat gergasi teknologi) untuk turut sama membayar yuran kepada media kerana tech giants juga menggunakan bahan-bahan kandungan berita oleh media tempatan.

“Jadi kita harap kehadiran mereka nanti mereka dapat kongsikan pengalaman ke arah itu,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Jendela Fikir: Pena Penulisan Nusantara oleh Bernama Radio, hari ini.

Mokhtar berkata Indonesia sedang memperhalusi pelaksanaan langkah tersebut memandangkan syarikat-syarikat berkenaan seharusnya menyalurkan sedikit pendapatan atas penggunaan kandungan media, seperti yang dilaksanakan di Australia.

Sambutan HAWANA 2023 bakal diadakan di Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.

Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di negara ini.

— BERNAMA

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button